BanjirNasional

Mangsa banjir di Johor, Pahang turun sedikit

JUMLAH mangsa banjir di Johor dan Pahang mencatatkan sedikit penurunan kepada 8,366 orang berlindung di 73 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 6 pagi tadi berbanding 8,566 orang di jumlah sama PPS malam tadi.

Menurut laporan terkini situasi bencana dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), di Johor, 26 PPS dibuka di Kota Tinggi yang menempatkan 4,707 mangsa, diikuti 13 di Kluang (1,601), lima di Johor Bahru (840), tiga di Segamat (73) serta sebuah PPS masing-masing di Kulai (86) dan Pontian (17).

Di Pahang, jumlah mangsa berkurangan kepada 1,042 orang di 22 PPS di tiga daerah berbanding 1,222 orang di 27 PPS malam tadi.

Seramai 360 mangsa ditempatkan di lapan PPS di Pekan serta masing-masing tujuh PPS di Maran (341 mangsa) dan Rompin (341 mangsa).

Sebuah PPS turut dibuka di Kuching, Sarawak akibat kebakaran yang menempatkan 38 mangsa.

Sementara itu, tinjauan Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor mencatatkan paras bahaya, antaranya Sungai Skudai di Johor Bahru, Sungai Johor (Johor Bahru), Sungai Johor (Kota Tinggi), Sungai Johor (Kulai) dan Sungai Endau (Kluang).

Selain itu, Sungai Perak (Hulu Perak, Perak), Sungai Arau (Arau, Perlis) dan beberapa sungai di Pahang, iaitu Sungai Kuantan (Kuantan), Sungai Pahang (Pekan), Sungai Pahang (Jerantut), Sungai Pahang (Maran) dan Sungai Rompin (Rompin).

Sebanyak 60 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak atau runtuh dan tanah runtuh, antaranya Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor; Jalan Sungai Sam Ke Dabong, Jeli di Kelantan; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli, Hulu Perak di Perak dan Jalan Temerloh-Jerantut di Pahang. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button