Nasionalpilihan

Malaysia-Uzbekistan sepakat kukuh hubungan

MALAYSIA dan Uzbekistan sepakat untuk mengukuhkan hubungan dua hala yang telah terjalin  lebih 30 tahun lalu.

Perkara itu antara yang menjadi fokus perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengetuai delegasi Malaysia mengadakan kunjungan hormat dan mesyuarat dua hala dengan wakil Kerajaan Uzbekistan yang diketuai Presiden Shavkat Mirziyoyev.

Dalam mesyuarat selama lebih satu jam, Anwar berkata, Presiden Shavkat antara lain menyatakan penghargaan terhadap ketegasan Malaysia memperjuangkan keadilan buat rakyat Palestin.

Katanya, Malaysia dan Uzbekistan berkongsi pendirian mahu melihat kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka. P

“residen Shavkat juga sambut baik usaha keras dan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia melawan rasuah dan salah guna kuasa, selain menghargai nilai-nilai yang diangkat dalam gagasan MADANI.

“Saya dan Presiden Shavkat senada mahu memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, khususnya terkait perdagangan dan pelaburan, selain kerjasama dalam sektor pendidikan, tenaga, industri halal, pertanian, pengangkutan, teknologi digital, kesihatan, pelancongan, kebudayaan serta kewangan dan perbankan Islam.

“Uzbekistan antaranya menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan Petronas dalam sektor hidrogen hijau dan petrokimia, selain latihan tenaga manusia dalam sektor minyak dan gas.

“Presiden Shavkat juga nyatakan cadangan mewujudkan zon perindustrian Uzbekistan-Malaysia, selain kami bersetuju untuk mempermudah dan mempercepatkan prosedur pelaburan antara kedua-dua negara.

“Kami turut bersetuju untuk mengangkat status Jawatankuasa Bersama untuk Perdagangan antara kedua-dua negara menjadi Suruhanjaya Bersama Antara Kerajaan.

“Selain itu, saya zahirkan penghargaan terhadap budaya dan ketamadunan Uzbekistan yang telah melahirkan ramai cendekiawan ulung seperti Imam Bukhari, Imam Tarmizi, Al Biruni, Naqshbandi, Ibnu Sina dan Ibnu Khwarizmi yang telah memberi sumbangan penting dalam dunia Islam.

“Saya turut menjemput Presiden Shavkat untuk datang ke Malaysia, khususnya bagi menyertai Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di Kuala Lumpur pada 28 Mei depan.

“Saya amat menghargai perbincangan ini yang telah berlangsung dalam suasana persahabatan, dan ia ternyata telah memperkukuh hubungan erat kedua-dua negara. Kami berdua kemudian menandatangani kenyataan bersama yang menyentuh persetujuan dan komitmen yang dicapai dalam pertemuan ini,” katanya.  – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button