Nasional

Malaysia masih takut-takut kebebasan media

Hari kebebasan media. Masih ramai yang takut-takut dan gagal menghayati kebebasan media.

Bukan sahaja pihak kerajaan, bahkan pihak media sendiri terutama media arus perdana tidak banyak berubah.

Ia bukan soal memaparkan foto jurugambar lensa besar bagak dan majlis berbuka puasa dihadiri ramai pengamal media.

Ia lebih luas daripada itu dan negara kita masih jauh terkebelakang.

Negara ini mula menikmati kebebasan media apabila kerajaan Barisan Nasional tumbang pada 2018 dalam pilihan raya.


Kerajaan Pakatan Harapan yang mengambil alih pemerintahan negara mengambil sikap yang lebih terbuka.

Bagaimanapun apabila kerajaan Perikatan Nasional memerintah kebebasan itu sedikit terbantut.

Kerajaan hari ini menyekat media yang tidak mesra mereka dengan memulaukan dan menyekat dari segi bisnes melibatkan kerajaan.

Media yang tidak mesra kerajaan tidak pernah dipanggil bagi memberi pandangan tentang pentadbiran negara dan hanya media yang tegar mengampu dipilih menjadi sebagai penasihat.

Maka hanya nasihat hambar atau ibarat sokong membawa rebah yang diperolehi.

Sedangkan di luar lingkungan pelbagai portal berita dengan nama aneh diwujudkan dan pelbagai berita ditularkan tanpa kawalan.

Kerajaan pula melalui proksi turut menubuhkan sebanyak mungkin portal berita bagi mengimbangi situasi itu, tetapi setakat ini belum berhasil.

Portal berita hambar tidak mendapat perhatian masyarakat yang lebih mencari berita-berita sensasi.

Akhirnya polisi kerajaan tidak sampai maklumat kepada seluruh rakyat. Ramai yang keliru dengan informasi yang bersimpang-siur.

Apatah lagi ramai wartawan yang telah bertukar ke kerjaya lain dan portal-portal digerakkan oleh pihak yang tidak terlatih dengan etika kewartawanan dan mereka ini mempunyai kepentingan tertentu.

Parti-parti politik juga menubuhkan portal berita sendiri dan gembira dengan jumlah klik sesuatu berita, tanpa mereka sedar ia hanya fatamorgana.

Ini adalah kerana maklumat hanya disebarkan dalam kalangan penyokong mereka atau dipanggil gelembong informasi.

Mereka yang tidak berminat dengan kisah parti tidak akan dapat melihat berita yang ditularkan.

Para pemimpin politik pula kini masing-masing mempunyai pasukan media sendiri dan sering membuat kenyataan di media sosial.

Setakat ini Facebook yang paling kuat ialah milik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kekuatan beliau kerana mempunyai pasukan penyelidik yang bagus.

Setiap kenyataan dilengkapi dengan hujah dan maklumat yang mencengang kan banyak pihak.

Orang politik perlu belajar dari Najib. Aura Najib berjaya diangkat hanya menggunakan media sosial.

Pemimpin muda yang berjaya mencuri perhatian masyarakat maya atau netizen ialah Syed Addiq.

Kekuatan beliau lebih kepada pendekatan yang digemari oleh anak muda.

Pilihan raya akan datang bakal menguji kehebatan media sosial dan portal berita berbanding media arus perdana yang masih terbelenggu dengan kaedah tradisional.

Contohnya jika dahulu Barisan Nasional menguasai media arus perdana tetapi kuasa itu berada pada Bersatu yang menggunakan kuasa yang ada untuk mempengaruhi media.

UMNO kini lebih bergantung kepada portal berita sendiri digerakkan oleh perhubungan negeri dan blogger belaannya yang semakin sedikit jumlahnya.

Jika Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional dengan hanya menggunakan media sosial, apakah mereka akan berjaya sekali lagi menumbangkan kerajaan yang ada kini.

Masyarakat pula kini sudah pening dan keliru dengan terlampau banyak maklumat disebarkan.

Ramai yang menelannya mentah-mentah dan hanya sebahagian kecil sahaja memeriksanya dengan media arus perdana yang dipercayai.

Namun hakikatnya kebebasan media yang mutlak sukar diwujudkan kerana konflik kepentingan dan pelbagai kekangan.

Media pasti akan lebih cenderung kepada pemodal dan undang-undang di negara ini masih lagi tidak memihak kepada kebebasan media.

Bagaimanapun sekali air bah, sekali pantai berubah. Tiada siapa dapat meramalkan apa akan berlaku kepada ekosistem media di negara ini.

Cuma yang diharapkan kebebasan yang dijulang tidak sampai terbabas hingga menggadai kepentingan negara.

 

 

 

(Visited 124 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button