Ekonomi

Malaysia luluskan pelaburan bernilai RM235 bilion tahun ini

MALAYSIA mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan di Malaysia untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak RM235 bilion.
Ia lebih tinggi daripada purata pelaburan yang diluluskan bagi tempoh sama untuk 10 tahun lepas.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah tersebut juga 6.6 peratus lebih berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2022.
Katanya, dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023 juga, sebanyak 90,000 peluang pekerjaan tercipta, manakala nisbah antara pelaburan langsung asing, dan pelaburan langsung tempatan (FDI:DDI) adalah 56:44.
“Saya harap kita dapat mencapai sasaran supaya pelaburan terus meningkat, berbanding FDI dunia yang berada pada negatif.
“Keutamaan kita pada pada 2024, MITI akan beri fokus keutamaan daripada segi pelaburan, antara sasaran kita nak percepatkan proses pelaburan, dan untuk mencapai daripada segi sasaran untuk ekonomi digital yang bernilai RM130 bilion, dan juga nak lengkapkan rasionalisasi agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena sesi pembentangan Kad Laporan 2023 MITI, bertemakan ‘Driving Transformation, Powering Growth’ di Menara MITI, di sini pada Rabu.
Katanya, MITI menyasarkan peningkatan pelaburan sebanyak 5 peratus bagi 2024, biarpun unjuran Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) menunjukkan trend penguncupan susulan konflik beberapa negara serta gangguan rantaian bekalan.
MITI, katanya, akan cuba mempelbagai destinasi pasaran baharu bagi eksport Malaysia, khususnya negara-negara di Timur Tengah, Afrika, dan Amerika Selatan.
Sementara itu, menyentuh mengenai perkembangan semasa Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia – Kesatuan Eropah (MEUFTA), Zafrul berkata ketika ini Malaysia sedang mengadakan bengkel bersama pihak EU untuk membuat aktiviti ‘scoping’.

‘Sscoping’ merupakan satu proses penentuan jurang dalam kedudukan dan pendirian dua pihak terlibat, yang akan menyediakan panduan untuk memastikan sebarang rundingan akan mengambil kira kos dan keuntungan kepada negara terbabit. – SM
(Visited 25 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button