Sukan

Malaysia juara Kejohanan Ragbi Asia B-19 Divisyen 2

SERDANG, 18 Dis — Malaysia dinobatkan juara Kejohanan Ragbi Asia Bawah 19 Tahun (B-19) Divisyen 2, selepas mengatasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) 15-14 pada aksi kedua di Padang A, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Malaysia mengumpul enam mata keseluruhan sementara UAE empat, selepas dicampur dua mata diraih kedua-dua pasukan dalam aksi pertama, yang berakhir dengan keputusan seri 12-12 di venue sama, Ahad lepas.

Kejayaan skuad bimbingan ketua jurulatih Mohd Farid Syazwan hari ini membolehkan Malaysia kembali bersaing dalam Divisyen 1 musim depan, selepas kali terakhir beraksi pada musim 2017.

Pada aksi hari ini, skuad negara berjaya melakukan dua try, melengkapkan satu conversion dan satu penalti, sementara UAE hanya melakukan satu try dan menyempurnakan tiga penalti.

Dua try Malaysia dilakukan Ahmad Zulhilmi Azizad pada minit kedua dan minit ke-15, sementara Muhamad Hafiezie Sudin bijak menyempurnakan conversion pada minit ketiga, sebelum menyempurnakan penalti pada minit ke-24.

14 mata UAE disumbangkan Justin Brits yang melengkapkan dua penalti pada minit kesembilan dan minit ke-31 sementara Baptiste Requillart dan Alistair Hess masing-masing melakukan try pada minit ke-19 dan minit ke-52.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Mohd Farid berpuas hati dengan disiplin dan semangat ditampilkan barisan pemainnya sepanjang dua perlawanan, walaupun berdepan kesuntukan masa dalam mempersiapkan pasukan.

“Walaupun kita mempunyai masa singkat untuk siapkan pasukan, tapi atas komitmen semua kita berjaya dapat apa yang diidamkan.

“Separuh masa kedua kita sedikit perlahan dan UAE yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal, menguasai hampir keseluruhan permainan, tetapi pemain bermain bermati-matian dan berjaya kekalkan kedudukan seterusnya memenangi perlawanan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Farid berkata persiapan rapi perlu bermula dari sekarang untuk mendapatkan kombinasi terbaik menjelang Divisyen 1 yang dijadual berlangsung penghujung tahun hadapan.

“Kita akui Divisyen 1 adalah standard yang lebih tinggi daripda Divisyen 2, dan kita perlukan persiapan awal untuk mencari kombinasi terbaik,” tambah beliau.

— BERNAMA

(Visited 89 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button