Berita

Banyak kematian di dunia disebabkan NCD, kata aktivis Malaysia

OXFORD, 18 Dis — Kematian akibat penyakit tidak berjangkit (NCD) di Malaysia adalah perkara biasa dan masyarakat dilihat lebih berminat dengan identiti si mati berbanding untuk mengetahui mengenai punca kematian,  kata seorang aktivis.

Datuk Seri Jessy Lai yang mewakili Malaysia di Perhimpunan Perniagaan Eropah (EBA) – sebuah pertubuhan  bukan kerajaan – berkata ia jelas dilihat menerusi kes kematian yang mendorong adanya pilihan raya kecil di Malaysia kebelakangan ini yang mana kematian penyandang disebabkan NCD.

“Daripada sembilan pilihan raya kecil yang diadakan di negara ini, kematian tiga penyandang disebabkan serangan jantung dan dua lagi (akibat) kanser.

“Pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai yang diadakan selepas kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari Pakatan Harapan pada 21 September akibat komplikasi jantung.

“Tetapi semua orang, baik di bandar mahupun luar bandar mereka lebih berminat untuk mengetahui identiti si mati berbanding bimbang mengenai punca penyakit berkenaan.

“Banyak kematian di dunia disebabkan NCD dan ini perlu dipandang serius,” katanya kepada Bernama selepas membentangkan kertas kerja bertajuk ‘NCD Global Fighting’ di Sidang Kemuncak Pemimpin 2019 di Dewan Perbandaran Oxford, di sini, Selasa.

Lai merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Monspace Multinational Corp dan mempunyai klinik senaman di beberapa tempat di Malaysia, berkata menerusi saringan kesihatan dan fizikal yang dijalankan baru-baru ini ke atas penduduk di Tanjung Piai, 63 peratus daripada 143 individu diuji positif untuk NCD dan separuh daripada mereka tidak menyedarinya.

“Kematian akibat NCD kini menjadi trend yang membimbangkan di Malaysia, mengikut statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan, kira-kira 50 peratus daripada mereka yang mempunyai NCD di negara ini tidak menyedarinya,” kata aktivis berusia 49 tahun berasal dari Melaka.

Mengulas lanjut, Lai, yang juga anggota Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC), berkata  Klinik Senaman Simfoni Baharu MS yang dijalankan oleh Monspace telah bekerjasama dengan tujuh klinik kerajaan di Malaysia dan mencapai kejayaan besar dengan pembukaan klinik senaman di banyak tempat termasuk di Kuala Ketil, Bagan Pinang, Port Dickson dan Kuala Selangor.

Beliau turut menyambut baik cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu pejabat kerajaan dan swasta memperuntukkan 15 minit untuk bersenam dan menjadikannya budaya bagi mengalakkan lagi gaya hidup sihat dalam kalangan petugas.

“Ini penting kerana masalah kesihatan mental dikenal pasti sebagai satu daripada NCD dan sebahagiannya disebabkan tekanan di tempat kerja,” katanya.

Sebanyak 71 peratus daripada jumlah kematian di banyak negara disebabkan NCD.

— BERNAMA

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button