NEGARA menjana lebih RM7.2 bilion potensi perniagaan dengan beberapa syarikat yang berpangkalan di luar negara dalam tempoh dua minggu pertama penyertaan di Expo 2020 Dubai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah keseluruhan untuk potensi perdagangan dan pelaburan tersebut diperolehi menerusi 14 Memorandum Persefahaman (MoU), tiga Surat Niat (LoI) dan dua Memorandum Kerjasama (MoC) yang ditandatangani 14 syarikat Malaysia dengan rakan-rakan strategik mereka dari luar negara.
“Syarikat-syarikat luar negara tersebut berpangkalan di China, Mesir, India, Iran, Oman, Qatar, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat MoU tersebut antara lain merangkumi teknologi “blockchain” dan “Internet of Things”; minyak dan gas; robotik dan automasi; penternakan aquatic dan bioteknologi; sektor berintensifkan teknologi; kenderaan udara tanpa pemandu; teknologi termal dan ultrasound serta bidang pembangunan dan penyelidikan teknologi pengekstrakan herba.
“Sementara itu, LoI dan MoC pula melibatkan fabrikasi 1,000 unit modular rumah pintar hijau; pengedaran eksklusif kapal tanpa pemandu; sistem pertanian menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan ramalan penyelenggaraan bagi penyelesaian projek,” katanya.
Bertemakan ‘Energizing Sustainability’, pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai turut mencatatkan lebih 50,000 pengunjung dari 1 Oktober hingga 14 Oktober 2021.
Menurut Ismail Sabri, ini merupakan pencapaian yang amat positif sepanjang dua minggu pertama penyertaan Malaysia di ekspo mega ini, ketika negara berada dalam fasa pemulihan pasca COVID-19.
Jelasnya, dijangkakan momentum ini akan berterusan untuk 25 minggu akan datang dengan sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang terlibat sama.
“Kerajaan juga yakin akan melepasi jumlah sasaran di antara RM8 bilion hingga RM10 bilion, terutamanya potensi perniagaan dan perdagangan dalam ekspo selama enam bulan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku kementerian yang menerajui penyertaan Malaysia ke Expo 2020 Dubai, yang mana Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) adalah agensi pelaksana. -SM