Ekonomi

Program MDEC GLOW pemangkin penglibatan rakyat dalam ekonomi gig

KETIADAAN pengalaman dan kekangan kewangan merupakan dua cabaran terbesar yang sering kali merencatkan usaha untuk seseorang itu memulakan perniagaan mereka. Bolehkah kita memulakan perniagaan tanpa dua faktor penting ini?

Jika kita memilih cara perniagaan tradisional, ia agak mustahil. Namun, dengan adaptasi digital, ketiadaan pengalaman dan kekangan kewangan tidak lagi menjadi keutamaan untuk anda memulakan perniagaan anda. Akan tetapi, setiap individu yang berkenaan perlu mempunyai kesungguhan dan semangat untuk berjaya.

Pasaran kerja di negara ini sedang tenat akibat pandemik, namun ironinya, penawaran kerja di industri ekonomi gig tetap berjalan seperti biasa. Mereka yang terkesan sewajarnya melihat hal ini sebagai satu peluang untuk segera merebut pelbagai peluang pekerjaan yang tersedia di dalam industri ini.

Ekonomi jangka pendek (gig) digital merupakan kaedah terbaik dan mudah untuk dicuba oleh rakyat yang menginginkan pendapatan tambahan tanpa perlu berdepan dengan risiko perniagaan yang tinggi.

Oleh itu, bila dan bagaimana ianya boleh dimulakan?


Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), menerusi kempen #SayaDigital telah menyediakan

satu inisiatif khas untuk anda iaitu Global Online Workforce (GLOW) untuk membantu rakyat Malaysia
menjadi seorang global digital freelancer yang berjaya.

Para peserta akan dilatih dan didedahkan mengenai asas freelancing, penghasilan profil, cara membida kerja yang efektif, pembinaan kertas kerja yang menarik dan pengurusan pelanggan yang baik.

Khairul Ikhwan Zulkifli, Pengasas GigVenture yang juga merupakan seorang alumni inisiatif GLOW yang disertai oleh beliau pada tahun 2016 berkata, beliau mula menerokai industri ekonomi gig tanpa sebarang modal dan hanya menggunakan aplikasi percuma yang boleh dimanfaatkan di Internet seperti Canva.

“Saya hanya perlu layari platform pekerja digital bebas seperti Upwork dan Freelancer.com untuk mencari dan memohon pelbagai kontrak kecil khusus untuk pekerja bebas (freelancer) seperti rekaan digital, video pendek, kapsyen bergambar, parodi, pengurusan media sosial dan banyak lagi.

“Sebagai contoh, untuk kontrak rekaan poster atau baju, saya hanya menggunakan platform perekaan percuma iaitu Canva. Platform ini sangat mudah digunakan walau kita tiada pengalaman dalam rekaan digital.

“Ini merupakan salah satu cara terbaik dan tidak berisiko kepada freelancer yang mahu  memulakan langkah awal pada bila-bila masa dalam ekonomi gig,” kata Khairul Ikhwan.

Sebenarnya banyak tawaran kontrak dari seluruh dunia yang boleh diperolehi daripada dua platform berkenaan yang boleh dimanfaatkan oleh para freelancer dan ini juga merupakan peluang untuk mereka memaksimumkan kemahiran yang jarang atau tidak dimanfaatkan sebelum ini untuk menjana pendapatan tambahan.

Khairul Ikhwan berkata, ada kalanya kita boleh mendapat kontrak yang tidak memerlukan kemahiran yang tinggi sebagai contoh, beliau pernah mendapat kontrak untuk menyediakan senarai syarikat yang menyediakan perkhidmatan perkahwinan berkonsep Melayu di Singapura.

“Saya hanya meluangkan masa kurang setengah hari untuk membuat carian di Internet dan akhirnya berjaya menjana pendapat sebanyak US$150 daripada kontrak berkenan. Paling penting di sini ialah kita perlu berani menerokai peluang-peluang yang ada,” jelas beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa risiko penipuan juga rendah kerana platform seperti Upwork mempunyai sistem deposit ke atas pelanggan yang menawarkan kontrak bagi menjamin keselamatan freelancer, kaedah yang hampir sama turut digunakan oleh platform eDagang popular.

Ramai yang bertanya, bolehkah kita menerokai ekonomi gig global jika kita tidak menguasai bahasa Inggeris?

Khairul Ikhwan menekankan bahawa bahasa bukan faktor utama kerana sebahagian besar urusan dengan pelanggan dilakukan secara mesej sahaja dan kita juga boleh fokus kepada pasaran yang menggunakan bahasa yang sama dengan kita.

“Pasaran ekonomi gig global sangat luas, oleh itu freelancer baharu perlu rajin dan mempunyai kesungguhan yang tinggi untuk berani yakin dan sentiasa terbuka untuk mempelajari perkara baharu.

“Semasa menyertai GLOW, pada awalnya niat saya hanya untuk mencari pekerjaan sementara sahaja tetapi selepas mendapat pendedahan dan tunjuk ajar daripada tenaga pengajar yang berpengalaman, saya mula sedar bahawa industri ekonomi gig ini amat besar potensinya dan inisiatif GLOW ini dapat dijadikan sebagai platform pemula untuk mempersiapkan kita membina dan mengurus perniagaan sendiri yang berasaskan kepada intangible assets seperti kemahiran, masa dan bakat.

“Di sini saya telah didedahkan dengan potensi kerjaya, bermula dengan freelancer , kemudian kepada pekerjaan jarak jauh (remote) dan seterusnya membina agensi kerja-kerja digital sendiri (digital agency).

Langkah-langkah ini ternyata berkesan, kini saya telah memiliki perniagaan/agensi saya sendiri (GigVenture) dan saya turut berpeluang untuk membantu orang lain juga,” tambah beliau.

MDEC PULA sentiasa mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia untuk terlibat, mempelajari serta menerokai industri ekonomi gig menerusi inisiatif GLOW ini dan anda boleh mendapatkan maklumat lanjut di https://mdec.my/glowmalaysia/.

Jangan lepaskan peluang untuk menerokai pelbagai inisiatif-inisiatif lain yang diterajui oleh MDEC di bawah kempen #SayaDigital yang selaras dengan konsep Keluarga Malaysia iaitu memulihkan dan meningkatkan ekonomi rakyat, di https://mdec.my/sayadigital/

(Visited 73 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button