Malaysia hantar MV Mega Bakti cari kapal selam Indonesia hilang
MALAYSIA akan memberi bantuan bagi operasi mencari dan menyelamat kapal selam Kri Nanggala milik Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menghubungi rakan sejawatnya di Indonesia Prabowo Subianto hari memaklumkan Malaysia telah mengatur gerak bagi membantu mengesan Kri Nanggala.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menggerakkan kapal selam TLDM iaitu MV Mega Bakti pada pukul 7.00 pagi tadi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) Kri Nanggala.
“Operasi SAR ini melibatkan 54 kru yang terdiri dari tujuh pegawai dan anggota TLDM dan tiga pegawai dan staf perubatan ATM, serta 44 kru MV Mega Bakti.
“Operasi ini diketuai oleh Komander Mohd Hairul Fahmy bin Yob TLDM selaku Coordinator Rescue Force (CRF),” katanya.
MV Mega Bakti telah belayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah dan dijangka sampai ke lokasi SAR pada 25 April pukul 3.00 petang.
MV Mega Bakti adalah kapal sewaan TLDM yang mempunyai keupayaan utama untuk melaksanakan SAR ke atas kapal selam.
Operasi SAR ini adalah yang kedua melibatkan MV Mega Bakti selepas terlibat dalam pencarian MH370 yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada tahun 2014.
“Kementerian Pertahanan melalui TLDM memberi sepenuh komitmen ke atas Operasi SAR ini dan ketersediaan TLDM membuktikan sebarang asetnya boleh diatur gerak dalam semua aspek pengoperasian dalam masa yang singkat.
“Selain menekankan pendekatan Diplomasi Pertahanan, Operasi SAR ini juga menunjukkan komitmen TLDM kepada komuniti antarabangsa berkaitan tugas dan tanggungjawab negara pengendali kapal selam di dunia,” katanya.
Kapal selam milik TNI-AL tersebut dilaporkan hilang semalam pada pukul 10.37 pagi di perairan Pulau Bali.
Kri Nanggala yang membawa 53 kru tersebut telah gagal dihubungi bermula pada 21 April 2021 jam 4 pagi.-SM