Ekonomipilihan

Malakoff bina momentum tenaga boleh baharu dengan kuasai ZEC Solar, TJC Suria

MALAKOFF Corporation Berhad (Malakoff) telah memeterai Perjanjian Bersyarat Jual Beli Saham (SSPA) bersama  Zelleco Engineering Sdn. Bhd. (Zelleco) untuk cadangan pengambilalihan 22,393,389 unit saham, mewakili 51 peratus kepentingan ekuiti dalam ZEC Solar Sdn. Bhd. (ZEC Solar), dan 49,000 unit saham, mewakili
49 peratus kepentingan ekuiti dalam TJZ Suria Sdn. Bhd. (TJZ Suria).

Pengambilalihan ini dijangka meningkatkan kapasiti efektif Malakoff kepada 128 MW di dalam sektor Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan mengoptimumkan kos operasi melalui sinergi sumber, yang akan menghasilkan skala ekonomi.

SSPA ini telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib dan Pengerusi Eksekutif Zelleco, Datuk Zakri Afandi Ismail dan Pengarah Urusan Zelleco, Datuk Wan Jamaludin Wan Abdul Malik dan disaksikan oleh Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan Malakoff,  Shaja Ibrahim di Ibu Pejabat Malakoff di Plaza Sentral, Kuala Lumpur.

ZEC Solar adalah pemilik dan pemaju fasiliti Solar Berskala Besar (LSS) dengan kapasiti 29 MW, yang terletak di Kota Tinggi, Johor Darul Ta’zim di bawah program LSS dengan Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) selama 21 tahun berkuat kuasa sehingga 2040.

ZEC Solar memperolehi projek tersebut menerusi pusingan pertama tender kompetitif LSS yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Pengambilalihan ini memberi peluang kepada Malakoff untuk mengembangkan kapasiti dan portfolionya dalam sektor RE. Ia juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dan menunjukkan sokongan serta komitmen kukuh Malakoff untuk mempercepatkan agenda pertumbuhan hijau dan mampan negara.

Anwar Syahrin amat berkeyakinan akan pengambilalihan strategik ini, kerana ia akan memberi peningkatan sebanyak 15 MW tambahan kepada portfolio mereka, menjadikan jumlah kapasiti RE yang oleh dipasang Malakoff kepada 168 MW.

“Inisiatif ini juga akan diselia oleh pasukan O&M Malakoff, bagi memastikan pelaksanaan dan pengurusan projek berjalan dengan efisyen serta lancar.

“Perkembangan ini akan meningkatkan keupayaan teknikal Malakoff dan juga sebagai loji rujukan untuk memenuhi keperluan bidaan LSS di masa hadapan, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. Tahun lepas, kami menunjukkan kemajuan besar dalam memperkembangkan portfolio RE kami.

“Kami menceburi bidang kuasa hidro dengan membiayai sebahagian Projek Rising Promenade (RP) Hydro’s Sungai Galas, dengan kapasiti 84 MW.

“Selain itu, kami memperoleh SPPA dengan pemain industri utama seperti Kumpulan Syarikat DRB-HICOM, Kumpulan Syarikat UMW, Perbadanan Aset Kereta Api dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Dengan memanfaatkan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP), kami memeterai perkongsian strategik dengan MMC Ports untuk membangunkan 500 MW projek solar dalam Kumpulan Syarikat Albukhary.

“Selain itu, kami mendapat pengiktirafan global melalui “Heads of Agreement” (“HoA”) dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (“Masdar”) untuk membangunkan projek loji fotovoltaik solar di Semenanjung Malaysia dengan jumlah kapasiti sehingga 1,000 MW.

“Tidak dinafikan bahawa terdapat momentum di Malakoff dalam mempercepatkan peralihan tenaga negara. Ini merupakan bukti komitmen kami ke arah menyumbang kepada sasaran Negara untuk mencapai Pelepasan Sifar Bersih seawal 2050 dan meningkatkan kapasiti RE kepada 70 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus membantu menyediakan masa depan yang lebih hijau.

“Sehingga kini, melalui Malakoff Green Solutions – portfolio RE Malakoff kini berjumlah 168 MW yang mana, terdiri daripada pelaksanaan projek Solar Berskala Besar (“LSS”) dan ‘Rooftop Solar’ (“RTS”), serta penjanaan kuasa hidro kecil dan pemasangan infrastruktur mobiliti bebas  karbon. Kesemua inisiatif ini mengukuhkan lagi komitmen Kumpulan ke arah ‘Enhancing Life, Enriching Communities’,” kata Anwar Syahrin. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button