Nasional

Majoriti rakyat diberi subsidi petrol RON 95 tahun depan – Rafizi

KIRA-KIRA 85 peratus rakyat negara ini akan terus menikmati subsidi walaupun selepas pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan secara prinsip telah bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan tahun depan seperti yang dimaklumkan ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu.

”Ini bermakna stesen-stesen minyak akan mempunyai harga secara dua peringkat iaitu harga bersubsidi yang kekal pada paras yang ditetapkan oleh kerajaan bagi 85 peratus rakyat dan harga yang diapungkan bagi mereka daripada 15 peratus isi rumah tertinggi di negara ini.
”Ini akan melengkapkan usaha kerajaan untuk menyasarkan subsidi daripada golongan yang tidak layak mendapat subsidi RON95, iaitu warga asing dan golongan 15 peratus berpendapatan tertinggi,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Rafizi berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai mekanisme penggunaan kad pengenalan untuk pengesahan kelayakan penerimaan subsidi RON95 yang terdedah masalah kerosakan cip kad pengenalan, capaian internet perlahan luar bandar, penipuan kelayakan, tambahan kos sistem pengesahan yang melambatkan proses pembelian minyak.

Menurut Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, pelaksanaan penyasaran subsidi itu akan melibatkan dua bahagian utama.

Kata beliau, bahagian pertama membabitkan penentuan golongan 85 peratus yang layak berdasarkan kedudukan sosioekonomi isi rumah yang akan mengambil kira pendapatan bersih.

”Pendapatan bersih adalah pendapatan kasar ditolak bayaran wajib seperti cukai, caruman, zakat dan yang lain. Turut diambil kira adalah tanggungan dan juga kos sara hidup berdasarkan lokasi.

”Bahagian kedua pelaksanaan penyasaran melibatkan stesen-stesen minyak. Ini melibatkan pengesahan kelayakan seseorang mengambil kira kedudukan sosioekonomi isi rumahnya menggunakan kaedah yang sedang dipertimbangkan contohnya kad pengenalan dan juga e-dompet,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button