Nasional

Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara ambil alih inisiatif digital, teknologi

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang mengambil alih inisiatif digital dan teknologi negara.

Muhyiddin berkata, majlis itu berperanan meningkatkan keupayaan negara dalam mengoptimumkan perkembangan teknologi 4IR dengan struktur tadbir urus bersepadu.

Beliau berkata, penubuhan majlis itu turut memastikan pertumbuhan ekonomi digital sejajar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Katanya, digitalisasi adalah satu budaya yang kini menjadi antara kebiasaan baharu yang perlu diarusperdanakan di semua peringkat termasuk dalam sektor kerajaan, swasta dan masyarakat.

“Perancangan, penyelarasan dan pemantauan dasar di peringkat kebangsaan adalah amat penting serta perlu diberi perhatian. Pandemik Covid-19 menuntut kerajaan mempercepatkan pembangunan teknologi 4IR dan pelaksanaan ekonomi digital.

“Negara memerlukan suatu dasar yang jelas, usaha dan tindakan bersepadu serta kerjasama yang erat antara semua pihak atau whole-of-nation approach,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri menekankan perkara itu ketika mempengerusikan mesyuarat pertama majlis berkenaan secara sidang video yang merupakan tadbir urus tertinggi dalam menetapkan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital dan 4IR di Malaysia.

Jelas Perdana Menteri, penubuhan majlis itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi digital di Malaysia adalah bersifat inklusif dengan memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi 4IR.

“Majlis ini yang turut dianggotai Kabinet berkaitan, wakil sektor awam, swasta, industri dan akademik.

“Ia akan menerajui usaha mengekalkan kelestarian pembangunan negara dalam arus kemajuan global yang secara umumnya semakin menjurus kepada pendigitalan intensif merentas segala aspek ekonomi dan kehidupan,” katanya.

Sebanyak enam kluster dikenal pasti sebagai komponen penggerak agenda ekonomi digital dan 4IR yang akan dipengerusikan menteri berkaitan.

Kluster tersebut adalah Ekonomi (dipengerusikan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali); Bakat Digital (Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan); Masyarakat (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun); Infrastruktur Digital dan Data (Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah); Teknologi Baru Muncul (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin) dan Kerajaan (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali).

Jelas Perdana Menteri, sebuah Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed juga diwujudkan untuk memacu kolaborasi antara pelbagai kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda ekonomi digital dan 4IR yang berpandukan hala tuju majlis itu.

“Semua ketua setiausaha atau ketua pengarah yang terbabit dengan keenam-enam kluster dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu mewakili Pengerusi Kluster masing-masing. Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara akan mengambil alih peranan hampir semua jawatankuasa berkaitan digital dan teknologi.

“Semua majlis, jawatankuasa dan pasukan petugas digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh menteri, pegawai kanan kementerian dan agensi akan diselaras atau digabungkan di bawah enam kluster yang baru diwujudkan,” katanya.

(Visited 302 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button