Negeri

MAIPs terima sumbangan 50 komputer

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menerima sumbangan CSR sebanyak 50 unit komputer riba daripada Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong dan kenalan-kenalan beliau.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan juga Tuanku Pengerusi YTSP Perlis berkenan berangkat menerima persembahan tersebut di Menara Tapak Cerapan Masjid Al Hussain Kuala Perlis pada Selasa petang.

Keberangkatan baginda bersempena program berbasikal ‘MAIPs Peduli Kali Ke 28 Bagi Tahun 2021’ anjuran MAIPs tersebut diiringi oleh Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir ialah Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radhi Abas serta Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew.

Komputer riba tersebut akan diagihkan oleh MAIPs dan YTSP Perlis kepada Sekolah-Sekolah Amanah Jamalullail serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil terpilih, Pusat Komuniti Kg Seberang Ramai Kuala Perlis dan masyarakat Siam melalui Sekolah Kebangsaan Panggas dan lain-lain lagi yang sudahpun dikenalpasti.

Sempena program tersebut Tuanku Raja Muda beserta para peserta yang lain turut meluangkan masa singgah menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih di sekitar kawasan Kuala Perlis.

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button