AgamaNasionalNegeri

MAIPs peruntuk zakat Bantuan Persekolahan RM7,219,800 tahun ini – Raja Muda Perlis

Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyediakan peruntukkan zakat untuk Bantuan Persekolahan MAIPs bagi tahun ini sebanyak RM7,219,800 berbanding tahun sebelumnya iaitu RM7,257,000.

Agihan berkenaan akan memberikan manfaat kepada 10,314 orang pelajar merangkumi 6,252 murid sekolah rendah dan 4,062 pelajar sekolah menengah di seluruh Perlis.

Setiap pelajar akan menerima agihan sumbangan RM700 yang disalurkan melalui kerjasama pihak pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu bapa Dan Guru (PIBG) di 103 buah sekolah di seluruh negeri ini.

Ia merangkumi bantuan seperti
RM300 untuk pembelian pakaian sekolah dan alat tulis yang akan diuruskan oleh pihak sekolah iaitu Muraqib Amil; RM100 untuk sumbangan tunai; dan RM300 lagi untuk pelaksanaan aktiviti-aktiviti kecemerlangan pendidikan dan sahsiah yang akan ditadbir oleh pihak Pengurusan Sekolah melalui kerjasama PIBG dengan saranan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Program berkenaan juga perlulah semata-mata untuk manfaat kepada pelajar yang terlibat sahaja.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan MAIPs, Tahun 2023’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Arau.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Muhammad Azmir Azizan; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman; dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada kesempatan yang sama Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs menitahkan ucapan terima kasih kepada pengurusan sekolah-sekolah terutamanya Pengetua dan Guru Besar, barisan guru serta PIBG seluruh negeri Perlis yang turut sama menjayakan proses mengenalpasti dan melaksanakan agihan bantuan kepada para pelajar yang terpilih. – SM

(Visited 344 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button