Agama

MAIPs berusaha mantapkan pendidikan golongan asnaf

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Ahli Jawatankuasa Pelajarannya sentiasa memikirkan kaedah dan cara terbaik bagi membantu meningkatkan lagi kualiti dan impak pendidikan kepada masyarakat secara umumnya dan asnaf khususnya di negeri Perlis.

Cita-cita dan hasrat MAIPs dalam memajukan sektor pendidikan akan terlaksana dengan izin Allah melalui perancangan serta inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakannya.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21,000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al-Shahrani, Behor Lateh. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang yang akan diagihkan oleh amilnya, Mohizan Mohamad.

Tuanku Raja Muda menitahcadangkan supaya sukatan pelajaran dan kokurikulum sekolah mengalami reformasi dan keluar dari ‘kepompong’ yang bersifat tradisi dan statik. Dalam dunia ICT hari ini, pihak sekolah juga perlu menggalakkan pelajar mengemuka lebih banyak idea dan pandangan mereka.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Pertandingan, pameran atau apa jua bentuk medium yang melibatkan kreativiti dan idea seperti reka cipta robotik, laman web, permainan, dan sebagainya, perlu diadakan dengan lebih kerap lagi bagi membuka minda dan menyalurkan lebih banyak bakat dan kemahiran pelajar. Secara tidak langsung, sekolah dan warga pendidik tidak lagi hanya bergantung kepada buku teks sepenuhnya tetapi akan lebih terbuka untuk melatih pelajar mencetuskan idea yang kreatif dan kritis’.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button