MAIPs beri pengecualian sewa premis untuk tiga bulan
SEWA premis
MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengumumkan tambahan inisiatif baharu berupa pengecualian bayaran sewa premis.
Ia meliputi sewa rumah, kedai dan bazar untuk tempoh tiga bulan bermula Mac ini kepada semua premis milik MAIPs untuk manfaat golongan sasar.
Inisiatif berkenaan adalah tambahan inisiatif keenam bernilai RM343,317 yang diperkenankan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs.
Menurut kenyataan media MAIPs hari ini, inisiatif berkenaan adalah usaha MAIPs bagi membantu meringankan beban para peniaga terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mereka terdiri daripada usahawan Muslim termasuklah golongan asnaf berdikari dan juga peniaga kecil.
Inisiatif pengecualian sewa premis tersebut adalah rancangan pakej awal sebelum penilaian selanjutnya dilaksanakan MAIPs kemudian.
Selain itu, MAIPs turut menghebahkan pemakluman berkaitan kaedah pengambilan ‘Bantuan Khas Rangsangan Asnaf’ melalui amil kariah di seluruh Perlis. Semakan pengambilan berkenaan bagi penerima bantuan ‘Sarahidup Bulanan dan Berkala Tanpa Akaun Bank’ boleh disemak melalui laman sesawang http://asnaf.maips.gov.my/bantuancovid/.
Agihan bantuan ini melengkapkan bantuan di bawah inisiatif keempat iaitu ‘Bantuan Khas Rangsangan Asnaf’ seperti yang diumumkan MAIPs pada 24 Mac yang lalu.
BACA:
- MAIPs bantu asnaf terjejas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19
- COVID-19: MAIPs salur bantuan RM2.6 juta kepada asnaf
Sebelum ini MAIPs telah bersetuju untuk menyalurkan sumbangan sebanyak RM2,618,200 kepada manfaat 13,091 asnaf dan keluarga.
Setiap asnaf yang terdiri dari kalangan penerima Bantuan Sarahidup Bulanan dan penerima Bantuan Sarahidup Berkala akan menerima ‘Bantuan Khas Rangsangan Asnaf’ sebanyak RM200 yang akan disalurkan melalui akaun bank masing-masing.
MAIPs) akan membantu mereka yang kehilangan pendapatan sepanjang pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
MAIPs akan bantu melalui penyaluran beberapa tambahan inisiatif bantuan kepada golongan yang kehilangan pendapatan akibat Covid-19.
Langkah MAIPs membantu golongan kehilangan pendapatan itui ekoran pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020 seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri.
Ia sebagai langkah proaktif MAIPs untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan selain signifikan kepada seruan Perdana Menteri kepada Pengurusan Zakat di seluruh negara agar turut sama membantu mereka yang terkesan sepanjang tempoh PKP.