Mahkamah

Mahkamah tolak petisyen batal keputusan DUN Sungai Udang

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 8 Jun – Jangkaan awal Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sungai Udang tidak menjadi kenyataan.

Mahkamah Pilihan Raya hari ini membuat keputusan menolak petisyen mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri
(PRN) Melaka di DUN Sungai Udang pada 20 November tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati semua lima tuduhan yang dikemukakan
menerusi petisyen dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad adalah tidak
berasas.

Mohamad Ali Mohamad

Petisyen tersebut dikemukakan terhadap tiga responden iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang
daripada Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd. Aleef Yusof, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pengurus
Pilihan Raya DUN Sungai Udang.

Peguam mewakili Mohd Aleef, Rosli Dahlan ketika ditemui berkata, sepanjang 11 hari perbicaraan mahkamah
memutuskan bahawa aduan atau lima pertuduhan mengenai penyelewengan dalam proses pengundian adalah tidak
benar termasuk dua pertuduhan terhadap penyogokan atau rasuah.

“Mahkamah mendapati bahawa segala aduan itu adalah tidak berasas sama sekali. Keterangan daripada semua
saksi-saksi mereka adalah bercanggah.

“Pada asasnya itulah sebabnya dari awal kita telah membuat bantahan bahawa kes ini tidak sepatutnya
dibicarakan tetapi kita menghormati keputusan hakim bahawa kes petisyen pilihan raya perlu didengar untuk
memuaskan hati rakyat,” ujarnya.

Rosli menambah keputusan hakim yang dibacakan sebanyak 35 muka surat membuktikan tidak berlaku
penyelewengan, sogokan atau rasuah.

Sewaktu membaca keputusan tersebut katanya, hakim telah memperincikan satu persatu fakta membuktikan tiada
penyelewengan oleh pihak SPR dan tidak berlaku sogokan oleh Dr. Mohd. Aleef menyogok untuk menang di DUN
Sungai Udang.

Mohamad Ali yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bagaimanapun tidak hadir pada sesi
pendengaran keputusan tersebut.

Beliau hanya diwakili barisan peguamnya diketuai Datin Rosfinah Rahmat bersama Amin Othman, Wan Hamidah
Wan Ismail dan Nor Hazira Abu Haiyan.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu itu yang tewas dalam PRN Melaka memfailkan petisyen pilihan raya itu pada
14 Disember lalu bagi membatalkan keputusan yang memihak kepada Dr. Mohd Aleef yang menang dengan majoriti
530 undi dalam pertembungan empat penjuru.

 

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button