MahkamahNasional

Mahkamah tolak permohonan dua warga Sabah hidupkan semula kes saman Hadi Awang

MAHKAMAH Rayuan menolak permohonan dua warga Sabah untuk menghidupkan semula kes saman yang difailkan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas dakwaan serangan terhadap penganut Kristian.

Hakim Vazeer Alam Mydin Meera berkata, panel tiga hakim membuat kesimpulan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi tahun lepas tidak secara nyata salah di sisi undang-undang.

“Kami bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa dua deklarasi yang dimohon (dua warga Sabah itu) tidak mampan sepenuhnya dan harus dibatalkan,” kata Vazeer yang bersidang bersama Supang Lian dan Ghazali Cha seperti dilaporkan FMT, hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah mengetepikan kos punitif RM50,000 yang dikenakan ke atas Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian.

“Terdapat merit dalam rayuan (berhubung kos) kerana tiada asas untuk memberikannya,” katanya.


Mahkamah hanya memerintahkan kedua-duanya membayar RM10,000 kepada Hadi sebagai kos untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Pada 11 Mei tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir membenarkan permohonan Hadi untuk membatalkan saman itu dengan menegaskan bahawa kedua-dua plaintif tiada locus standi untuk memulakan tindakan itu.

Kedua-duanya memfailkan saman pemula pada Disember 2020 memohon deklarasi bahawa Hadi melakukan hasutan dan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Mereka menuduh Hadi membuat kenyataan menghasut terhadap penganut dan mubaligh Kristian yang diterbitkan dalam akhbar Harakah terbitan PAS pada 18 Januari 2016 tetapi tidak pernah didakwa.

Dalam afidavit untuk menyokong tindakan itu, kedua-dua individu itu berkata, kenyataan Hadi turut disiarkan FMT pada hari yang sama.

Wazeer dalam penghakiman lisannya berkata, kedua-duanya memohon perintah deklaratori berdasarkan sumber sekunder.

Katanya, aduan mereka adalah peguam negara yang juga pendakwa raya, tidak mendakwa Hadi.

Mereka berkata, perdana menteri masih melantik Hadi sebagai Duta Khas ke Timur Tengah.

“Deklarasi sedemikian tidak berguna bagi perayu (dua warga Sabah). Mereka bukan memaksa peguam negara untuk mengambil tindakan atau meminta perdana menteri memecat Hadi daripada jawatannya,” katanya.

Wazeer berkata, berdasarkan hujahan oleh peguam Hadi, saman itu diteruskan bagi tujuan politik dan kolateral.

“Kami bersetuju dengan pemerhatian Mahkamah Tinggi bahawa tiada sebab yang dapat difikirkan untuk memohon deklarasi dan saman itu sia-sia,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan bahawa peguam negara yang mempunyai budi bicara untuk memulakan tuduhan terhadap Hadi.

“Mahkamah sivil ini tidak boleh merampas kuasa perlembagaan itu dan mengisytiharkan terlebih dahulu bahawa sesuatu kesalahan telah dilakukan,” tambahnya.

Katanya, jika deklarasi pengisytiharan sedemikian dibenarkan, ia sudah pasti akan membuka pintu kepada saman lain yang serupa.

Hadi diwakili peguam Yusfarizal Yussoff dan Muhd Daniel Baharudin manakala peguam Gopal Sri Ram, R Kengadharan, Marcus Lee dan How Li Nee mewakili Maklin dan Lawrence. – SM

(Visited 77 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button