Rencana

Mahkamah bersihkan UMNO, rakyat masih perlukan UMNO

Beberapa hari ini kes mahkamah semakin tidak menyebelahi para pemimpin UMNO dan ahli keluarga mereka.

Mereka ini sudah didapati bersalah atau diarahkan membela diri.

Itu urusan mahkamah. Kita tidak seharusnya mencampuri urusan berkenaan, waima perdana menteri sendiri.

Bagi yang didapati bersalah memang bukti terlalu jelas, cuma kita turut bersimpati.

Cuma UMNO itu sendiri tidak mahu membersihkan diri sendiri, sehingga mahkamah terpaksa membersihkan parti itu daripada para pemimpin berkenaan.

Kisah pemimpin UMNO yang korup ini bukan sesuatu yang baharu dari zaman Anwar Ibrahim berjuang menentang korupsi, sampai beliau sendiri bergelumang sendiri dan akhirnya ditendang keluar.

Namun aku agak tersentuh apabila buat pertama kali aku dengar khatib membaca khutbah dan mendoakan supaya kita semua dijauhi daripada penyalahgunaan kuasa.

Jika sebelum penyalahgunaan dadah sering menjadi perhatian mimbar, tetapi kali ini khatib dan rakyat melihat sendiri bagaimana salah guna kuasa boleh menyebabkan negara jatuh bankrap dek wang rakyat berbilion ringgit “disapu” untuk memuaskan nafsu diri sendiri, ahli keluarga serta suku sakat.

Kini ahli-ahli UMNO dalam keserabutan untuk menilai antara perbuatan salah dengan jasa.

Isu itu biarlah dan berilah peluang ahli-ahli UMNO untuk menyesuaikan diri.

Namun rakyat keseluruhan berterima kasih dengan peranan mahkamah yang bertindak tanpa dipengaruhi tekanan dan sentimen.

Sesungguhnya rakyat masih memerlukan UMNO, tetapi yang telah dibersihkan daripada pemimpin yang korup.

Setelah selesai proses pembersihan mungkin parti-parti serpihan UMNO boleh dibubarkan dan para pemimpinya kembali ke dalam saf UMNO.

UMNO perlu kuat kembali seperti dahulu dan kekal menjadi pembela rakyat terbanyak.

Misi para pemimpin yang keluar atau dipecat sebelum inipun memang mahukan sebuah parti yang ditunjangi oleh mereka yang bebas daripada salah guna kuasa dan merompak wang rakyat sesuka hati.

Kini cahaya semakin kelihatan, semoga UMNO kembali ke landasan benar sebagai sebuah parti yang membela rakyat dan bukannya untuk mengkayakan diri sendiri dan para penjilat semata-mata.

(Visited 373 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button