MahkamahNasional

Mahkamah arah Siti Bainun beri keterangan tanpa peguambela

MAHKAMAH hari ini mengarahkan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang berdepan pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella memberi keterangan membela diri meskipun tertuduh tidak diwakili peguam.

Siti Bainun, 30, diarahkan membaca pernyataan saksinya selepas Hakim Izralizam Sanusi memutuskan bahawa prosiding bela diri itu perlu diteruskan agar tidak mengganggu perjalanan kes.

“Mahkamah ini mempunyai ‘absolute discretion’ (budi bicara mutlak) untuk membenarkan atau menolak permohonan penangguhan.

“Dalam kes ini, saya perlu menggunakan budi bicara saya yang bijaksana. Oleh itu, hari ini saya akan mulakan kes pembelaan dengan kamu membacakan pernyataan saksi kamu yang telah diterima oleh pihak pendakwaan.

“Saya mengambil kira pernyataan saksi itu yang mempunyai lebih kurang 200 muka surat dan saya percaya pembacaan pernyataan saksi itu akan mengambil masa selama dua hari.

“Saya juga mengambil berat hak kamu untuk diwakili peguam. Maka saya akan menangguhkan pemeriksaan balas.

“Kamu berjanji untuk membawa peguam kamu dalam tempoh sebulan dan pada tarikh bicara yang ditetapkan 20 Februari ini.

“Saya percaya pihak TPR (Timbalan Pendakwa Raya) boleh membuat pemeriksaan balas dan ketika itu kamu sepatutnya mempunyai peguam,” kata Hakim.

Hakim Izralizam menegaskan supaya tertuduh mengutamakan kes hari ini kerana ini adalah peluang untuknya membela diri.

“Namun kamu memilih untuk melantik dua peguam mewakili kamu bagi kes rayuan di Mahkamah Rayuan dan kes sivil berkaitan Rumah Bonda sedangkan untuk kes ini kamu memilih untuk mendapatkan peguam YBGK.

“Saya telah nyatakan sebelum ini pelantikan peguam YBGK memerlukan masa dan adalah lebih baik untuk kamu mendapatkan peguam yang lebih bersedia mewakili kamu.

“Saya boleh nampak tindakan kamu hari ini seolah-olah menganggap kes hari ini kurang penting,” kata Hakim lagi.

Terdahulu, Siti Bainun memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau telah bertemu dengan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan mereka memohon masa sebulan untuk meneliti segala dokumen berkaitan kes itu.

“Mereka (YBGK) kata boleh dan mereka ada minta saya berikan dokumen. Semua dokumen dah ada kecuali penyata bank daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

“Mereka mohon (penangguhan) sebulan tetapi kalau saya boleh dapat dokumen (penyata bank) awal dan berikan pada mereka, mereka akan e-mel semula,” kata Siti Bainun.

Sementara itu, ditanya Hakim sama ada Siti Bainun ada membuat aduan kepada Majlis Peguam berhubung tindakan lima peguamnya sebelum ini menarik diri daripada mewakilinya, Siti Bainun berkata: “Tidak kerana mereka masih membantu saya dalam penyediaan pernyataan tuntutan dan dokumen berkaitan perbicaraan.” – FMT – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button