Nasional

MAHA 2022 jadi platform hapuskan budaya orang tengah dalam bidang pertanian

Sasar 1.1 jua pengunjung secara fizikal

PAMERAN Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) yang bakal diadakan bulan depan mempunyai sasaran yang jelas.

Kali ini, MAHA 2022 akan menjadi platform untuk menghapuskan peranan orang tengah dalam sektor pertanian dan rantaian bekalan makanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, melalui rantian perniagaan dalam MAHA 2022, perniagaan secara langsung antara pengeluar dengan pengguna akan berlaku, sekali gus berpotensi mengelakkan peranan orang tengah.

“Dengan MAHA, kita seboleh-bolehnya mahu menghapuskan golongan ketiga iaitu orang tengah yang cuba mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan dalam keadaan tidak sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita usai prapelancaran Laman Agro-Food Florikultur sempena MAHA 2022, hari ini.


Untuk rekod, pada 18 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa, budaya orang tengah dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan dihapuskan.

Beliau berkata, apabila orang tengah dapat dihapuskan,  kos sara hidup dapat dikawal selain menidakkan peningkatan atau kenaikan kadar inflasi.

MAHA 2022 akan diadakan secara hibrid pada 4 sehingga 14 Ogos bertempat di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dengan bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’.

Disasarkan sebanyak 1.1 juta pengunjung akan hadir secara fizikal sepanjang 11 hari program itu berlangsung dan turut dianggarkan, menjana lebih RM250 juta nilai jualan.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan berkata, antara tarikan di Laman Agro-Food Florikultur ialah Miracle Garden yang menonjolkan keindahan lanskap kombinasi pelbagai jenis bunga bersama tanaman boleh makan atau edible dengan aspek pertanian pintar.

“Kepelbagaian konsep taman yang akan diterapkan di laman itu nanti antaranya ialah Rainbow Garden, Teratai Garden, Tropical Garden dan Urban Garden,” katanya. – SM

(Visited 34 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button