NasionalParlimen

Bimbang pindaan Akta Perhutanan Negara 1994 jejas pendapatan penduduk

AHLI Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Pas) mahu Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) mendedahkan dapatan kajian pengumpulan data sosio ekonomi setempat terhadap kutipan hasil-hasil hutan jika pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perhutanan Negara 1994 diluluskan.

Beliau mempersoalkan sama ada pindaan tersebut akan mempengaruhi kesan terhadap penduduk yang kelaziman mereka mencari sumber rezeki daripada hasil hutan khususnya di kawasan Parlimen Sik serta daerah lain seperti di Gua Musang, Kelantan; Sungai Siput, Perak dan Cameron Highlands, Pahang.

“Adakah pindaan akta ini akan menghalang mereka (penduduk) daripada mengutip hasil hutan yang sememangnya menjadi pendapatan mereka secara tradisi seperti contoh buah nadir seperti buah keranji, buah tampir, buah durian burung selain pokok-pokok tradisional seperti tongkat ali, pokok tunjuk langit dan sebagainya.

“Hutan kita mempunyai pelbagai khazanah dan adakah pindaan RUU ini nanti dapat memberi keyakinan kepada kerajaan negeri bagi memberi kelestarian dalam menjaga hutan simpan. Kerajaan negeri juga berhak mendapat hasilnya,” ujarnya ketika membahaskan Pindaan Akta Perhutanan Negara 1994 di Sidang
Parlimen, hari ini.

Ahmad Tarmizi berkata, pindaan RUU itu nanti perlu mengimbangi keperluan bagi kedua-dua pihak iaitu kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bagi mewujudkan situasi menang menang.

Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa bulan lalu untuk memberi pampasan kepada kerajaan negeri termasuk Kedah yang sentiasa mengekalkan hutan simpan.

Berhubung bencana banjir kilat dan fenomena melanda daerah Sik beliau berkata, ia dikatakan berpunca daripada aktiviti pembalakan di hutan rimba Teroi menyebabkan lebih 200 keluarga terkesan.

Sehubungan itu beliau mahu pihak kementerian meneliti kesan-kesan yang telah berlaku seperti runtuhan tanah dan tebing termasuk sungai-sungai menjadi semakin sempit serta terhakis.

Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan agar konsep ladang hutan tidak wajar diteruskan sebaliknya ia perlu dirombak bagi mengelakkan salah guna permit oleh syarikat-syarikat pembalakan.

Beliau menyokong penuh pindaan Akta Perhutanan Negara 1994 bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan negara bagi menjayakan strategi pertumbuhan hijau dan mengalakkan semula penanaman hutan simpan. – SM

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button