Lulus atau tidak Belanjawan 2021 hari ini?
HARI ini ahli-ahli Parlimen yang bersidang di Dewan Rakyat akan melakukan undi belah bahagian untuk meluluskan Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
JIka semua ahli parlimen Pakatan Nasional mengundi untuk menyokong usul itu ia tidak ada masalah untuk lulus.
Apa yang menimbulkan spekulasi sekarang ialah perpecahan yang berlaku dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO yang mungkin akan menjejaskan sokongan untuk meluluskan belanjawan itu.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah jelas antara yang mungkin tidak akan menyokong belanjawan ini berdasarkan kepada pendiriannya mengenai jawatan Perdana Menteri.
Beliau secara konsisten mahukan undi tidak percaya dibuat terhadap Perdana Menteri bagi mengesahkan kedudukan jawatan itu.
Selain itu isu tuntutan berkaitan moratorium dan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga yang setakat ini belum dipenuhi dijangka akan mempengaruhi undian tersebut.
Ahli Parlimen UMNO antara yang keras menuntut dua perkara itu termasuk Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setakat ini selepas kekosongan di dua kawan Parlimen iaitu Batu Sapi dan Gerik, anggota Dewan Rakyat yang menyokong kerajaan dan pembangkang kelihatan seimbang.
Oleh itu jika terdapat dua atau tiga orang dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO misalnya yang tidak menyokong, maka kemungkinan besar Belanjawan 2021 tidak akan lulus.
Jika belanjawan ini tidak lulus, ia boleh dianggap sebagai manifestasi undi tidak percaya terhadap kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat kritikal.
Oleh itu undian bagi meluluskan Belanjawan 2021 bukan sahaja penting untuk meluluskan peruntukan kewangan kepada rakyat tetapi juga ujian terhadap kepimpinan Muhyiddin.
Belanjawan itu kalau ikut jadual asal undianya adalah pada 25 November semalam. Selepas itu ditunda ke hari ini (26 November). Itu pun ada ura-ura untuk ditunda ke minggu hadapan atas alasa terdapat kementerian yang belum selesai melakukan penggulungan.
Apa yang nyata setakat ini kem Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menolak usul Belanjawan 2021 hari ini.
Katanya, tindakan itu diambil atas rasa tanggungjawab dan amanah yang dipegang mereka sehingga penggal perkhidmatan wakil rakyat tamat.
“Saya dan rakan-rakan mengambil ketetapan menolak Belanjawan 2021 dan kami lakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah yang kami pegang bagi pihak rakyat sehingga penggal perkhidmatan kami sebagai wakil rakyat tamat.
“Kita telah melihat betapa mengecewakan proses perbahasan Belanjawan berjalan beberapa hari kebelakangan ini.
“Selain dari perbahasan yang terhad, tidak ada sebarang tanda di pihak kerajaan untuk mendengar atau menerima pandangan yang telah diajukan oleh ahli-ahli Parlimen mahupun kritikan rakyat yang boleh kita dengar rintihan mereka melalui laman-laman media sosial dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat,” kata Dr. Mahathir.