Politik

Mereka rakan sejawat saya – Syed Saddiq

AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan semua Ahli Parlimen baik dari pihak Pembangkang mahupun Kerajaan adalah rakan sejawatnya.

Tegas Syed Saddiq, adalah penting untuk dia bertemu dengan Ahli Parlimen Pembangkang dan Kerajaan bagi mengetahui pandangan mereka mengenai Belanjawan 2021 yang akan diundi hari ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyatakan dia melakukan semua itu demi menjaga dan melindungi kepentingan rakyat.

“Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang pun saya bertemu. Mereka rakan sejawatan saya dan penting untuk saya tahu apa sudut pandang mereka.

“Paling penting, semua ini dibuat untuk memastikan kehendak dan keperluan rakyat, saya jaga dan lindungi,” kata Syed Saddiq.


Syed Saddiq berkata, sejak perbentangan Belanjawan 2021 beliau dan anggota parti Muda telah adakan banyak pertemuan dan sesi perbincangan.

“Kami telah buat beberapa siri perbincangan virtual dengan geng Muda. Saya sendiri telah buat public poll untuk netizen bersuara dan beri pendapat.

“Minggu lepas, saya telah sertai sesi perbahasan belanjawan. Saya pun dah kongsi di sini rakaman dan petikan ucapan saya,” kata Syed Saddiq.

Bekas Ketua Pemuda Bersatu itu mendapat kritikan hebat daripada warganet selepas dia bertemu dengan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Pertemuan dengan Najib menyebabkan ada yang berpandangan bahawa Syed Saddiq sebagai seorang yang tidak mempunyai prinsip.

Belanjawan 2021 dijangka melalui proses pengundian oleh 220 Ahli Parlimen hari ini selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melakukan Penggulungan Perbahasan Belanjawan di Peringkat Dasar.

Dewan Rakyat mempunyai semua 222 ahli tetapi berlaku dua kekosongan apabila kematian dua penyandangnya iaitu Datuk Liew Vui Keong (WARISAN-Batu Sapi) yang meninggal dunia pada 2 Oktober lalu dan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) pada 16 November lalu.-SM

(Visited 72 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button