LTdL 2020: Mamat ungguli Peringkat Ketujuh
MOHD Harrif Saleh meneruskan prestasi cemerlangnya pada Peringkat Ketujuh perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 selepas memenangi satu lagi peringkat perlumbaan hari ini yang meliputi jarak sejauh 130.4 kilometer dari Dewan Datuk Haji Abdullah Badawi di Bagan ke Menara Alor Setar di sini.
Pelumba berusia 31 tahun dari Terengganu Cycling Team (TSG), yang sebelum ini memenangi Peringkat Kelima dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh dua hari lepas, diumumkan sebagai pemenang oleh Komisar Perlumbaan selepas perlumbaan hari ini tamat dalam kelompok hingga ke garisan penamat.
Pelumba Itali, Matteo Pelucchi dari Bardiani CSF Faizane di tempat kedua manakala Taj Jones pelumba Ara Pro Racing Sunshine Coast di tempat ketiga.
Komisar Pelumbaan memberikan masa 2 jam 53 minit dan 18 saat kepada 10 pelumba terbaik.
Kejayaan Mohd Harrif, dikenali sebagai Mamat yang berasal dari Kuala Terengganu, menjadi pelumba terbaik Malaysia dalam sejarah LTdL selepas menenangi tiga peringkat perlumbaan.
Sebelum ini, Mohd Harrif memenangi perlumbaan Peringkat Kedua LTdL 2019 dari Dataran Senawang ke Melaka.– BERNAMA