Rencana

LPPKN: 54 tahun terajui pembangunan keluarga

Bermula sebagai Lembaga Perancang Keluarga Negara

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah ditubuhkan di bawah Akta Perancang Keluarga (Akta 42) pada 10 Jun 1966 dengan nama asalnya Lembaga Perancang Keluarga Negara (LPKN). Menerusi Akta Perancang Keluarga 1966, LPKN diberi tanggungjawab sebagai agensi pelaksana program dan aktiviti perancangan keluarga di negara ini.  Sejajar dengan keperluan semasa dan perubahan dari segi kefungsian agensi, akta tersebut telah melalui beberapa pindaan.

Pindaan pertama adalah pada tahun 1976, manakala pindaan kedua pada tahun 1984.  Pada pindaan kedua, ia turut melibatkan pertukaran nama akta daripada Akta Perancang Keluarga kepada Akta Penduduk dan Pembangunan Keluarga (Akta 352). Selari dengan pindaan tersebut, nama Lembaga Perancang Keluarga Negara (LPKN) turut ditukar kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Peranan LPPKN telah diperluaskan daripada perancangan keluarga kepada pembangunan keluarga dengan pengkhususan dalam tiga bidang tematik iaitu bidang kependudukan, pembangunan keluarga dan reproduksi manusia atau kesihatan reproduktif.

Perjalanan LPPKN untuk terus kekal sehingga ke hari ini amat memenatkan malah penuh cabaran.  Namun, itu bukan penghalang untuk LPPKN tetap utuh di arus perdana sehingga menginjak usia 54 tahun.

Bermula pada tahun 2001, LPPKN telah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Kini, dengan visi menjadi organisasi kecemerlangan penduduk dan keluarga, LPPKN tidak mungkin menoleh ke belakang lagi.  Ikrar untuk memacu agenda kependudukan dan kekeluargaan yang inovatif melalui kajian demografi keluarga, program dan perkhidmatan akan terus menjadi misi organisasi.

Ketua Pengarah

Sejak mula ditubuhkan, LPPKN telah diterajui oleh sembilan nama besar sebagai Ketua Pengarah.  Antaranya adalah Dr. Shamsudin Abdul Rahman, Datuk Dr. Ariffin Ngah Marzuki, Datuk Dr. Abdul Hamid Arshat, Datin Dr. Noor Laily Datuk Abu Bakar dan Dr. Raj Abdul Karim.

Mulai 24 Januari 2018, Ketua Pengarah ke-10, Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah mengambil tempat menggalas tanggungjawab selepas bersaranya Dato’ Dr. Siti Norlasiah Ismail.   

Di bawah teraju beliau, beberapa pendekatan baharu telah diperkenal sesuai dengan kehendak semasa.  Berteraskan kepercayaan kepada semua anggota, beliau telah mencipta fenomena ‘Kita Kan Keluarga’ dan semangat keluarga besar LPPKN.   

“LPPKN adalah sebuah organisasi berteraskan Keluarga. Saya percaya dengan kesepakatan satu keluarga (anggota LPPKN) kita mampu kekal sebagai agensi peneraju agenda keluarga dengan lebih berkesan,” – Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN

Bukan perkara yang mudah, namun cabaran ini perlu dan wajar ditangani sebaik mungkin.  Sehingga kini, LPPKN mempunyai sebanyak 14 buah pejabat negeri dan 49 buah Klinik Nur Sejahtera di seluruh negara termasuk tiga (3) klinik subfertiliti.

Sejajar dengan 54 tahun usia LPPKN, pencapaian atau pengiktirafan yang dicapai merupakan usaha berterusan kepada halatuju LPPKN yang lebih cemerlang bagi tempoh mendatang untuk terus menabur bakti kepada masyarakat Malaysia.   

Perkhidmatan Subfertiliti

LPPKN merupakan pelopor perkhidmatan subfertiliti di negara ini bermula pada tahun 1979 dan masih kekal sebagai pusat subfertiliti terbaik di rantau ini. LPPKN mempunyai kemudahan, kepakaran dan pengalaman dalam menawarkan perkhidmatan subfertiliti dengan kos yang berpatutan. Sehingga kini hampir 8,000  kehamilan telah direkodkan.  Ramai kalangan doktor dalam bidang subfertiliti di negara ini pernah mendapat latihan dan pendedahan di LPPKN.

Cabaran

Salah satu cabaran yang perlu ditangani oleh LPPKN ialah populasi penduduk Malaysia telah berubah dengan cepat dan Total Fertility Rate (TFR) atau Kadar Kesuburan Jumlah telah merosot dari 6.7 (1957) kepada 2.0 (2015) dan diunjurkan menjadi 1.91 pada tahun 2020.

Senario penurunan kadar kesuburan ini akan menjadikan Malaysia pada masa hadapan lebih ramai warga tua daripada tahun-tahun sebelum ini. Malaysia diunjurkan akan menjadi negara tua menjelang tahun 2030 iaitu apabila lebih 15 peratus daripada populasi rakyat mencapai umur 60 tahun ke atas.

Hasil Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 (KPKM-5, 2014) mendapati bahawa 40.9 peratus pasangan ingin melahirkan anak lagi setelah mendapat anak pertama.  Kajian ini juga menunjukkan bahawa 8.6 peratus pasangan tiada anak mengikut tempoh yang sepatutnya sejak perkahwinan pertama. Data ini menunjukkan tren ketidaksuburan yang merupakan satu isu dalam kalangan pasangan yang berada pada peringkat umur reproduktif. Tren perkahwinan lewat telah memendekkan tempoh melahirkan anak dalam kalangan wanita berpendidikan tinggi atau mempunyai kerjaya juga antara penyebab penurunan kadar kesuburan.

Salah satu cara menangani perkara ini termasuk menggalakkan pasangan untuk menambah kelahiran melalui bantuan perubatan dengan rawatan persenyawaan luar rahim atau ‘in-vitro fertilisation‘ (IVF). Walau bagaimanapun kos rawatan tersebut agak tinggi iaitu antara RM4,000 ke RM30,000 setiap kitaran.

Menyedari keperluan untuk membantu pasangan yang ingin mendapatkan zuriat, Kerajaan telah bersetuju dengan usul LPPKN dimana iaitu pada tahun 2019, Kerajaan telah  mengumumkan Insentif Kesuburan dalam ucapan Belanjawaan Tahun 2020. di mana Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu dalam Simpanan Akaun 2 kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan. Pelepasan cukai sehingga RM6,000 turut diberikan kepada mereka yang mendapatkan rawatan kesuburan.

Program Keibubapaan di bawah Skim Bantuan Latihan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF)

Sebagai usaha untuk pengukuhan institusi keluarga, LPPKN berusaha untuk menjadikan latihan dan kemahiran keibubapaan sebagai komponen yang penting dalam latihan sumber manusia. Pada tahun 2019, Kementerian Sumber Manusia telah mengiktiraf bidang kemahiran keibubapaan (Parenting Skills) dalam senarai latihan bidang berdaftar di bawah Human Resource Development Fund (HRDF).

LPPKN telah diberi kepercayaan oleh pihak HRDF apabila dilantik sebagai Penyedia Latihan Keibubapaan Berdaftar kepada majikan sektor swasta untuk tempoh tiga (3) tahun bermula 10 Julai 2019 sehingga 9 Julai 2022. Menerusi perlaksanaan program ini, peserta sektor swasta akan dapat meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran keibubapaan dalam mengimbangi peranan dan tanggungjawab mereka terhadap keluarga dan kerjaya.  Ini secara langsung dapat meningkatkan produktiviti di tempat kerja. 

Kajian dan Penyelidikan Demografi Keluarga

LPPKN turut memainkan peranan sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam menasihati kerajaan melalui penyelidikan kependudukan, pembangunan keluarga dan kesihatan reproduktif. Kajian yang dilaksanakan dijadikan input kepada para pengubal dasar, perancang dan pengurus program dalam menilai, merangka dan membentuk strategi pembangunan sosio-ekonomi negara.

Tiga (3) kajian utama yang dilaksanakan oleh LPPKN adalah Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia, Kajian Semula Dasar Semula Kependudukan Negara dan Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga.

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) yang dilaksanakan pada tahun 2014 merupakan kajian kelima dalam siri kajian yang dilaksanakan setiap 10 tahun sejak tahun 1974. Kajian ini bertujuan untuk menyediakan maklumat terkini dan data siri masa berkaitan demografi, keluarga dan kesihatan reproduktif rakyat Malaysia.

Pada tahun 2017, LPPKN telah melaksanakan Kajian Semula Dasar Kependudukan Negara: Pelan Tindakan Ke Arah Pembangunan Lestari 2030. Tujuan utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti isu-isu semasa kependudukan dan seterusnya menyediakan hala tuju kependudukan negara dalam usaha mencapai matlamat pembangunan mampan menjelang tahun 2030 seiring dengan The 2030 United Nations Agenda for Sustainable Development Goals.

Kajian yang telah dilaksanakan mencadangkan satu Hala Tuju Kependudukan Negara Ke Arah Pembangunan Lestari 2030. Hala tuju ini adalah bagi memperkasa penduduk Malaysia agar lebih berdaya tahan dalam mengharungi cabaran sosioekonomi pada masa hadapan. Secara dasarnya, cadangan hala tuju ini akan berlandaskan 5 Teras Strategik iaitu (1) Menangani Kejatuhan Kadar Kesuburan (2) Memperkukuhkan Institusi Keluarga (3) Meningkatkan Daya Tahan Penduduk (4) Mengarusperdanakan Dasar berkaitan Penuaan; dan (5) Memastikan Inklusiviti untuk Semua.

Hasil kajian ini telah dibentangkan kepada pihak Kerajaan menerusi pembentangan di Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Negara (JPPN) pada 22 Julai 2019 dan diluluskan Jemaah Menteri  pada 7 Januari 2020. Hasil penemuan kajian ini juga turut dipersetujui untuk dijadikan sebagai input kepada Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMK-12)

Menyedari kepentingan keluarga sebagai unit asas sosial yang menyedia dan membekalkan sumber modal insan untuk pembangunan negara, LPPKN telah menjalankan Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) untuk mengukur tahap kesejahteraan keluarga di negara ini. Kajian ini telah mengenal pasti lapan (8) domain yang sesuai dalam memberikan maklumat tentang kesejahteraan keluarga Malaysia.

Lapan domain tersebut adalah Hubungan Kekeluargaan, Ekonomi Keluarga, Kesihatan Keluarga, Keselamatan Keluarga, Keluarga dan Keterlibatan Komuniti, Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian, Perumahan dan Persekitaran serta Keluarga dan Teknologi Komunikasi. Domain ini diperkukuhkan lagi dengan 22 indikator yang telah dikenalpasti menerusi proses yang sistematik.

Kajian IKK 2019 merupakan siri yang ketiga selepas kajian IKK yang dilaksanakan pada tahun 2011 dan 2016 dengan skor masing-masing adalah 7.55 dan 7.33 daripada 10 mata, iaitu berada pada tahap sederhana. Kajian IKK 2019 telah selesai dilaksanakan pada Disember 2019 dengan skor 7.72.

Program Pemerkasaan Ekonomi Keluarga

LPPKN telah memperkenalkan Program Penjagaan Ibu Selepas Bersalin (MamaCare) pada tahun 2012 bagi meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan reproduktif  wanita serta keluarga melalui pemerkasaan ekonomi wanita.

Melalui program ini, wanita terutama daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dibantu memperoleh kemahiran urutan dan penjagaan ibu selepas bersalin.  Kemahiran ini juga sebagai asas untuk menjadikan bidang urutan sebagai profesion untuk menjana pendapatan keluarga agar dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Pengamal MamaCare memberi khidmat penjagaan selepas bersalin secara tradisional tetapi menepati piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi  membantu ibu selepas bersalin pulih untuk kembali bekerja.  Di samping urutan, pengamal turut menyebarluaskan program dan perkhidmatan LPPKN kepada klien, sesuai dengan peranan LPPKN yang menyediakan perkhidmatan dan program kekeluargaan kepada semua.

Program ini turut diumumkan sebagai salah satu daripada lima (5) inovasi sosial terbaik dalam Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) tahun 2017.  Sehingga tahun 2020, program ini telah berjaya melatih seramai 1,431 pengamal MamaCare yang aktif dalam urutan selepas bersalin dan juga urutan kesejahteraan.  Melangkah lebih jauh, LPPKN melalui anak syarikatnya iaitu Family Wellbeing Sdn Bhd, menjadikan latihan peningkatan kompetensi pengamal MamaCare LPPKN sebagai salah satu peluang perniagaan yang kompetitif dan boleh memberi pulangan yang baik. 

Kepelbagaian dalam penyampaian Perkhidmatan (MyKafeTEEN, PKB, Program Online)

Selari dengan kemajuan teknologi dan keperluan masyarakat yang pelbagai, LPPKN sentiasa komited dalam memastikan tiada keluarga yang terpinggir daripada mendapat akses kepada program dan perkhidmatan kekeluargaan yang disediakan oleh LPPKN. Program dan perkhidmatan LPPKN tidak hanya dilaksanakan secara statik di premis fizikal, namun turut diperluaskan menerusi inisiatif yang kreatif selari dengan keperluan keluarga Malaysia hari ini.

Pusat Keluarga Bergerak (PKB)

LPPKN telah menyediakan sebanyak 15 buah unit Pusat Keluarga Bergerak (PKB), iaitu bas yang diubah suai supaya perkhidmatan LPPKN boleh disediakan melalui PKB.  Ia beroperasi di seluruh negara untuk aksesibiliti kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif dan sokongan keluarga kepada masyarakat yang sukar mendapatkannya melalui premis statik LPPKN.

Perkhidmatan secara outreach ini juga telah berjaya meningkatkan akses kumpulan sasar dan berisiko terhadap khidmat sokongan kekeluargaan. Perkhidmatan yang disediakan oleh pusat ini ialah perkhidmatan saringan kesejahteraan, perancang keluarga, pendaftaran penerima subsidi mamogram, pemberian vaksinasi HPV, pap smear dan pemeriksaan klinikal payudara. Perkhidmatan sokongan psiko-sosial yang disediakan pula termasuk ujian psikometrik, perkhidmatan kaunseling keluarga, program kembara kaunseling, terapi tekanan dan latihan serta pendidikan keibubapaan.

LPPKN turut membangunkan platform pembelajaran yang dikenali sebagai eLearning dengan menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai tools untuk capaian terhadap pembelajaran, bahan ilmiah dan tutorial secara atas talian yang melibatkan modul pendidikan berkaitan kemahiran kekeluargaan dan pembangunan keluarga. eLearningmenawarkan pembelajaran kursus-kursus secara maya anjuran LPPKN sepanjang tahun yang diboleh diakses pada bila-bila masa.

Bagi memperluaskan jangkauan pendidikan dan khidmat sokongan yang mesra remaja, LPPKN dengan kerjasama United Nations Population Fund (UNFPA) telah membangunkan satu perisian edutainment untuk remaja dikenali sebagai myKafeTEEN yang mengandungi informasi kesihatan dan khidmat sokongan untuk remaja. Aplikasi ini mengandungi informasi artikel/infografik/video berkenaan kesihatan reproduktif dan sosial remaja. Selain itu, ia juga mewujudkan platform interaksi secara maya (Teen Chat) remaja bersama Doktor dan Kaunselor LPPKN serta ruangan forum (Teen Buzz) bagi perkongsian pendapat/perbincangan  topik trending, sukan, fesyen, gajet dan lain-lain.

Menyedari keperluan normal baharu, LPPKN akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian bagi kursus pra perkahwinanan dan keibubapaan, melengkapi kursus secara fizikal yang ditawarkan pada masa ini.  Persediaan perkahwinan dan kemahiran keibubapaan semakin signifikan kepada masyarakat pada masa ini melihat kepada cabaran yang semakin pelbagai yang boleh menjejaskan kesejahteraan keluarga secara langsung atau tanpa disedari.

Perkhidmatan Kaunseling LPPKN

Perkhidmatan kaunseling di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bermula dengan perkhidmatan runding cara keluarga. Seterusnya, menyedari kepentingan kaunseling terhadap kesejahteraan keluarga dan masyarakat, LPPKN telah mengorak langkah mengembangkan perkhidmatan runding cara keluarga kepada perkhidmatan kaunseling bermula tahun 2004 dengan pengambilan kaunselor bertauliah di ibu pejabat selanjutnya di setiap LPPKN Negeri.

Seterusnya, bagi meluaskan aksesibiliti perkhidmatan dan permintakan kaunseling yang mengalakkan daripada masyarakat, khidmat kaunselor panel turut disediakan oleh LPPKN. Perkhidmatan kaunselor panel adalah secara sambilan dan dilaksanakan oleh kaunselor bertauliah yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. Setakat ini LPPKN mempunyai seramai 20 kaunselor lantikan tetap dan 43 orang kaunselor panel.

Pada masa yang sama, selain daripada perkhidmatan kaunseling individu, keluarga dan kelompok, perkhidmatan kaunseling LPPKN turut mempelbagaikan pendekatan dalam membantu mencapai kesejahteraan penduduk dan keluarga. Antara program dan perkhidmatan yang ditawarkan ialah program psikopendidikan dan terapi.

Dalam aspek perkhidmatan psikopendidikan, perkhidmatan secara “turun padang” dilaksanakan melalui program Kembara Kaunseling. Melalui program ini, maklumat berkaitan pendidikan psikologi dan maklumat pencegahan diberikan kepada masyarakat secara bersemuka. Tujuan utama program ini adalah memberi pendidikan dan mengurangkan stigma masyarakat berkaitan perkhidmatan kaunseling. Perkhidmatan kaunseling bukan sekadar untuk mereka yang mengalami isu dalam hidup, tetapi meliputi penyebaran maklumat pendidikan, pencegahan dan juga pemulihan yang membantu masyarakat berfungsi dengan lebih baik dan sejahtera. Dalam program ini, peserta berpeluang mengenali diri, pengurusan stress dan juga caragaya keibubapaan melalui instrumen yang disediakan.

Seterusnya, program terapi minda dan terapi kesunyian turut diperkenalkan. Program terapi minda bertujuan untuk memupuk kemahiran peserta dalam mengurus tekanan, mengenali diri dengan lebih baik dan menekankan fungsi dan peranan peserta dalam hubungan seharian. Program ini lebih cenderung menggunakan pendekatan terapi seperti lukisan dan pergerakan sebagai dorongan kepada peserta mengaplikasikan kombinasi minda, jasad dan emosi dalam mengharungi kehidupan seharian dengan lebih positif.

Terapi kesunyian pula adalah khusus untuk membantu masyarakat khususnya warga emas mengatasi isu kesunyian kerana berjauhan dengan anak-anak. Program ini juga cenderung menggunakan pendekatan terapi seni dalam memperkasakan kemahiran peserta menghadapi isu kesunyian.

Selain itu, LPPKN turut mengadakan kerjasama dengan agensi luar dalam memperkasakan masyarakat. Program Orang Yang Diselia (ODS) misalnya, unit kauseling LPPKN dengan kerjasama Jabatan Penjara bersama-sama membantu ODS membina persediaan awal untuk mereka penyesuaikan diri dengan keluarga dan komuniti selepas mereka dibebaskan. Program berbentuk perkhidmatan kaunseling individu dan kelompok serta ceramah disediakan dalam memberikan bimbingan dan sokongan kepada peserta.

Pada masa yang sama, LPPKN turut bekerjasama dengan Persatuan Pengasih dalam program My Therapeutic Family. Program yang mensasarkan penagih dan keluarga penagih ini bertujuan untuk memperkasakan klien dan menyediakan keluarga klien dengan pengetahuan dan kemahiran dalam membantu klien meneruskan kehidupan dalam masyarakat selepas tamat proses pemulihan.
Merujuk kepada statistik bilangan sesi dan klien kaunseling dalam perkhidmatan kaunseling individu dan kelompok, menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Pada tahun 2018, sebanyak 4,300 sesi dicatatkan dengan penglibatan klien seramai 14, 700 orang. Manakala pada tahun 2019, angka ini terus meningkat kepada 5,608 sesi individu dan kelompok melibatkan 32, 888 klien. Untuk tahun 2020 sehinga Mei 2020, sebanyak 1,218 sesi dengan 9,624 klien dicatatkan. Isu yang dibincangkan merangkumi isu berkaitan keluarga, kesihatan mental, personaliti, kerjaya, ketagihan dan lain-lain isu. Isu paling kerap dibincangkan ialah isu keluarga, kesihatan mental dan personaliti. Peningkatan sesi dan bilangan klien serta jenis isu perbincangan, menggambarkan masyarakat lebih terbuka dalam mendapatkan perkhidmatan kaunseling.

Selain itu, statistik pelaksanaan terapi dan program pula, yang meliputi kembara kaunseling, ODS, terapi minda, terapi kesunyian, my therapeutic family dan ceramah kaunseling turut menunjukkan peningkatan dalam pelaksanaan program dan bilangan peserta. Pada tahun 2018, sebanyak 679 program dilaksanakan meliputi 31,855 orang peserta diikuti peningkatan kepada 742 program dengan 33,026 peserta. Sehingga Mei 2002 pula, mencatatkan pelaksanaan sebanyak 152 program dengan 6,941 peserta. Pelaksanaan program secara bersemuka dan fizikal dijangka mengalami penurunan pada tahun 2020 kesan daripada pandemik Covid-19. Namun demikian, LPPKN terus berusaha menyebarkan perkhidmatan kaunseling dan kekeluargaan kepada seluruh masyarakat.

Secara keseluruhan perkhidmatan kaunseling LPPKN dilihat terus berkembang dengan peningkatan sesi dan bilangan klien, pengukuhan program sedia ada dan pelaksanaan program baharu. Usaha ini merupakan antara insiatif LPPKN ke arah kesejahteraan keluarga dan penduduk di Malaysia.

LPPKN di Arena Antarabangsa

Peranan dan fungsi LPPKN turut diperluaskan di peringkat global dalam beberapa persidangan dan komitmen antarabangsa.

LPPKN telah dianugerahkan The United Nations Population Award 2007 sebagai pengiktirafan dalam kecemerlangannya melaksanakan program remaja, sosio demografi, penyelidikan dan pembangunan keluarga meliputi aktiviti pendidikan dan latihan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada tahun 2011, LPPKN telah menerima Anugerah Keluarga United Nations Economic and Social/World Family Organisations daripada UN ECOSOC/WFO atas sumbangan dalam memartabat dan melaksana polisi awam untuk manfaat wanita serta keluarga.

Pada tahun 2017, LPPKN telah menerima Anugerah Keluarga daripada International Federation For Family Development (IFFD) sebagai pengiktirafan usaha-usaha LPPKN dalam membangunkan program kekeluargaan di Malaysia sehingga terhasilnya Dasar Keluarga Negara.membangunkan program kekeluargaan di Malaysia sehingga terhasilnya Dasar Keluarga Negara.

Pada 13 April 2018, Keahlian Malaysia dalam United Nation Commission on Population and Development (UNCPD) disambung bagi penggal 2019 hingga 2022. LPPKN bertanggungjawab untuk menyediakan laporan pencapaian negara dalam pelaksanaan Program Tindakan ICPD (ICPD-PoA) setiap tahun di mesyuarat UNCPD di New York.

Penutup

Peranan dan fungsi LPPKN pada tahun 2020, diharapkan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan keluarga di Malaysia.  LPPKN kekal dengan pendirian bahawa persediaan perkahwinan dan kemahiran keibubapaan yang berterusan penting dan perlu diberi tumpuan oleh semua.  Adalah menjadi hasrat LPPKN untuk menjadi agensi peneraju yang menyedia program dan perkhidmatan untuk keluarga Islam dan bukan Islam secara berterusan.  Setiap daripada kita adalah ahli keluarga dan kita adalah bertanggungjawab kepada kesejahteraan keluarga kita sediri. – SM

(Visited 1,506 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button