fbpx
Nasional

PGA rampas daun ketum bernilai lebih RM64,000

BATALION 1, Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta, Perak merampas 2,165 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM64,950 sepanjang lima siri rampasan dalam Op Benteng COVID-19 yang berakhir semalam.

Komander Briged Utara PGA, SAC Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, pada rampasan pertama, pihaknya merampas 250 kilogram (kg) daun ketum yang diisi dalam plastik lutsinar dianggarkan bernilai RM7,500 di kawasan kebun pisang jalan keselamatan berhampiran tiang TNB 875 Pos PB19 (pondok kawalan) dekat sini kira-kira 2.40 petang pada 7 Jun.

“Manakala pada rampasan kedua di kawasan berhampiran tiang TNB 23 berhampiran Pos BKC 7 (pondok kawalan) dekat sini kira-kira 2.45 petang hari yang sama, anggota PGA yang melakukan rondaan  terserempak dengan seorang lelaki sedang memikul bungkusan putih namun meloloskan diri.

PGA  merampas satu guni putih berisi daun hijau dipercayai daun ketum seberat 25kg yang ditinggalkan oleh suspek dianggarkan bernilai RM750,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada rampasan ketiga, PGA menemukan tiga guni putih dengan berat berjumlah 100kg bernilai RM3,000  disyaki daun ketum yang diletakkan di Jalan Keselamatan Tiang TNB 874, Pos PB19, dekat sini  kira-kira 2.30 petang hari sama.


Dalam rampasan keempat pula, PGA telah menyerbu sebuah rumah kosong dipercayai sarang aktiviti penyeludupan di Jalan Kampung Syed AB, Kok Mak, dekat sini  kira-kira 2.30 pagi semalam dan menemukan  sebanyak 33 guni daun ketum seberat 990kg bernilai RM29,700.

Pada rampasan kelima di sebuah rumah kosong di Kampung Batu 20 dekat sini  kira-kira 10.30 malam semalam , sepasukan PGA yang menyerbu masuk ke rumah itu menemukan bungkusan plastik berisi daun hijau disyaki daun ketum berselerak di atas lantai.

Beliau berkata anggota PGA telah mengumpul dan mengisikan daun tersebut ke dalam 25 guni dengan berat keseluruhan berjumlah 800kg dengan hasil rampasan dianggarkan bernilai RM24,000.

Katanya tiada tangkapan suspek dilakukan sepanjang kelima-lima operasi dan kesemua bahan rampasan telah diserahkan kepada Balai Polis Padang Besar untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – BERNAMA

(Visited 4 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button