Nasional

Lori air bukan untuk isi kolam renang – Isteri MB Selangor

Isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad menafikan gambar lori tangki yang membawa air ke kediaman mereka  adalah untuk memenuhi kolam renang di rumah tersebut.

Jelas Masdiana, gambar lori tangki yang dikongsi di Instagram miliknya itu hanyalah sebagai menyampaikan rasa berterima kasih seorang ibu kepada petugas barisan hadapan Air Selangor yang bertungkus lumus sejak beberapa hari lepas.

“Dakwaan yang kata lori itu dihantar untuk memenuhkan kolam renang tersebut adalah tidak benar sama sekali.

“Sebagai seorang ibu saya cuma ingin menyampaikan rasa berterima kasih kepada petugas barisan hadapan Air Selangor yang bertungkus lumus sejak beberapa hari lepas, bukannya niat untuk bermegah-megah,” kata Masdiana.

Masdiana turut mengakui melakukan kesilapan memuat naik gambar tersebut di sosial media hingga  menimbulkan banyak tafsiran daripada rakyat.

“Justeru saya memohon maaf sekiranya tindakan tersebut mendatangkan sebarang bentuk salah tafsir dan mengguris perasaan mana-mana pihak.

“InsyaAllah saya akan bersama petugas barisan hadapan Air Selangor untuk turun membantu penduduk di kawasan-kawasan yang belum menerima bekalan air, terutamanya golongan ibu dan warga emas,” kata Masdiana.

Sebelum ini kecoh di media sosial apabila isteri Datuk Seri Amirudin Shari itu berkongsi beberapa keping gambar termasuk keluarganya sedang mandi di dalam kolam renang dan gambar lori tangki membawa air ke kediaman menteri besar selangor itu.

Ketika ini rakyat Selangor dan penduduk Kuala Lumpur sedang menghadapi masalah bekalan air sejak semalam apabila air sungai dicemari bahan pelarut yang dilepaskan oleh sebuah kilang.-SM

(Visited 969 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button