Sampai ada lima botol mengandungi air ketum serta gambar lucah salah seorang anggota? Kejadian yang dilaporkan orang awam ini di salah sebuah balai polis daerah Kajang buatkan satu Malaysia garu kepala!
Dalam masa sama menurut laporan, polis juga turut merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan satu unit tv.
Paling mengejutkan bagaimana empat wanita orang awam berusia antara 21 hingga 37 tahun boleh terlepas untuk menari sambil berhibur dalam sebuah bilik di tingkat dua balai berkenaan.
Lebih aneh dengan selambanya, mereka melakukan perbuatan ‘murni’ dan ‘bahagia’ itu bersama Ketua Balai Polis (OCS) berpangkat Sub Inspektor, dua Koperal dan seorang Koperal Sokongan.
Hasil Tangkapan Kerana Melanggar SOP
Berdasarkan laporan semasa, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad mengesahkan kejadian terbabit dan tangkapan dijalankan atas maklumat salah laku yang jelas.
Katanya, tindakan pegawai, anggota dan orang awam terbabit yang berhibur di sebuah bilik di balai berkenaan dengan berkaraoke adalah menyalahi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
“Tangkapan dijalankan oleh pegawai dan anggota JIPS Bukit Aman selepas mendapati tindakan itu jelas melanggar SOP.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika mereka didapati melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan,” katanya kepada sebuah syarikat media.
Bagaimana Sebelum COVID-19?
Namun yang menjadi persoalan orang awam pula, bagaimana dengan tindakan apabila ‘kantoi’ berhibur dengan minuman keras, air ketum serta membawa wanita?
Adakah perkara ini dianggap biasa jika tidak berlakunya pandemik COVID-19 dan hanya salah kerana melanggar SOP dalam mengawal penyakit berjangkit?
Tidak salah rasanya untuk JIPS Bukit Aman menjelaskan tindakan lain yang dikenakan ke atas OCS bersama tiga anggotanya serta empat wanita orang awam selain ditahan atas sebab melanggar SOP COVID-19.