Nasional

MAIPs kenal pasti 3,500 asnaf baharu ekoran pandemik Covid-19

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah mengenal pasti sebanyak 3,500 penerima asnaf baharu yang menerima ‘Bantuan Sarahidup Secara Berkala’ dan ‘Bantuan Sara Hidup Bulanan MAIPs’ pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs melalui Amil Kariah Masjid Mahmudiah Bukit Keteri Zainon Omar yang menerima bagi pihak seramai 30 asnaf terpilih yang masing-masing menerima RM 700 setiap seorang dengan jumlah penuh bernilai RM 21,000.

Baginda yang merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs bertitah bahawa jumlah terkini asnaf di bawah pantauan MAIPs adalah sebanyak 18,179 penerima berbanding 14,679 asnaf penerima bantuan yang direkodkan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu MAIPs (SPMB) pada tahun sebelumnya.

Pada kesempatan yang sama baginda turut dipersembah maklum oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor bahawa antara tarikh 1 Jun 2021 sehingga 18 Julai 2021, sebanyak 368 penerima bantuan baharu di bawah ‘Skim Bantuan Sarahidup Secara Berkala’ telah direkodkan oleh MAIPs.

Jelas Mohd Nazim, ‘Sebagai agensi tunggal yang diamanahkan untuk melaksanakan pengurusan zakat di Negeri Perlis, Pengurusan MAIPs sedaya upaya berusaha untuk melaksanakan program turun padang bagi menjejaki dan menyantuni golongan asnaf. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah Program MAIPs Peduli yang diterajui sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis selaku Tuanku Yang DIPertua MAIPs.

Menurut beliau lagi, MAIPs turut mengamanahkan kepada 103 Amil Kariah dan 99 Guru Muraqib Amil di semua sekolah rendah dan menengah negeri Perlis untuk membantu MAIPs menyalurkan maklumat dan sumbangan.

Bagi meneruskan amanah, Pengurusan MAIPs sentiasa bertekad untuk menyantuni warga asnaf yang berkeperluan, dan penyertaan semua pihak dalam memberikan saranan konstruktif dan membina amatlah dialu-alukan.

(Visited 162 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button