Nasional

Bekalan dijangka pulih malam ini, air Tasik Idaman di pam ke loji Semenyih

PENGGUNA yang terjejas dengan gangguan bekalan air di Lembah Kelang dijangka menerima semula bekalan air menjelang tengah malam ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, sebanyak 24 juta liter air sehari akan dipam menggunakan mesin Jabatan Pengairan dan Saliran dari kolam Tasik Idaman di Dengkil ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih bagi memastikan tahap pencemaran bau boleh dicairkan ke tahap sifar.

“Saya berharap pengguna yang mula mendapat bekalan air supaya jangan panik dengan menyimpan air kerana tindakan ini akan mengganggu paras air di empangan dan usaha untuk mengurangkan risiko pencemaran bau,” katanya kepada pemberita selepas melawat kolam Tasik Idaman di Dengkil, hari ini.

Sejak Sabtu LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, yang berpunca perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang membuang bahan sisa buangan haram dengan bau pelarut di lurang pembetungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) yang terletak di Bandar Bukit Mahkota.

Susulan penutupan itu sebanyak 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di kawasan Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas.

Jelas Amirudin, pihak IWK telah memulakan usaha menyedut bahan tercemar di lurang pembetungan yang terjejas mulai 4 petang Ahad.

“Kerajaan negeri turut menutup kawasan lurang pembetungan berkenaan selain meminta Majlis Perbandaran Kajang untuk kurangkan akses ke kawasan itu kerana sudah dua kali sisa buangan dibuang di situ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kali pertama ia berlaku pada September lepas.

“Ini adalah pembuangan secara sengaja sebab jumlahnya tinggi dan berlaku di tempat yang sama,” katanya lagi.

Tambah Amirudin, beliau berharap akan ada penyelesaian yang komprehensif dalam masalah berkenaan bagi mengelak masalah yang sama berulang serta memberi kesan terhadap kredibiliti Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan kerajaan negeri Selangor. – BERNAMA

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button