Lionel Proctor diberhentikan kerja serta-merta
SEORANG individu bernama, Lionel Proctor Prajiv yang didakwa menghina raja-raja Melayu dan agama Islam dalam ruangan komen di Facebook telah diberhentikan kerja serta-merta semalam.
Menurut majikannya, syarikat Hatten Group tindakan telah diambil tanpa sebarang toleransi terhadap Lionel Practor selepas siasatan dalaman dijalankan terhadap beliau.
“Kami ingin tegaskan komen yang dilakukan beliau adalah atas kapasiti peribadi dan tidak langsung mencerminkan nilai dan kepercayaan Hatten Group.
“Syarikat berpendiran teguh dengan nilai untuk menghormati semua orang, kaum dan agama, serta sistem beraja dan tidak langsung membenarkan perlakuan seperti itu,” kata Hatten Group dalam satu kenyataan.
Semalam media melaporkan, polis sedang menjalankan siasatan berhubung komen jelik berunsur penghinaan terhadap institusi diraja dan agama Islam yang dimuat naik seorang individu di laman sosial yang tular sejak kelmarin.
Ketua Penolong Pengarah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung perkara itu.
Lelaki yang mengguna nama ‘Lionel Proctor’ menulis komen, ‘siapa nak hormat raja-raja kau yang bertaraf macam ketua kampung dan agama kau yang diasaskan bangsa penunggang unta dari padang pasir’ pada satu kiriman di media sosial.
Kenyataan terbabit mengundang rasa marah orang ramai yang menganggap perkara itu sebagai satu penghinaan kepada institusi diraja serta agama Islam.-SM