Lima negara jadi perintis Sidang Kemuncak Kuala Lumpur
LIMA negara – Malaysia, Indonesia, Turki, Qatar dan Pakistan akan menjadi perintis Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir, yang merupakan pengerusi sidang kemuncak itu berkata ketua-ketua negara dari Qatar, Turki dan Pakistan telah bersetuju untuk menghadiri sidang kemuncak 2019 yang diadakan dari 18 hingga 21 Dis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 akan membincangkan mengenai isu umat Islam berdasarkan tujuh teras iaitu pembangunan dan kedaulatan; integriti dan tadbir urus yang baik; budaya dan identiti serta keadilan dan kebebasan.
Tiga lagi teras ialah keamanan, keselamatan dan pertahanan; perdagangan dan pelaburan serta tadbir urus internet dan teknologi, katanya pada prapelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata negara lain juga ingin dan menyatakan minat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.
“Jelas sekali, kita memerlukan umat Islam menyokong inisiatif ini tetapi sebagai permulaan, kita perlu melakukannya secara kecil dan saya berharap kita dapat membawa mesej ini ke seluruh dunia,” katanya.
Bertemakan ‘Peranan Pembangunan Dalam Mencapai Kedaulatan Negara’, sidang kemuncak itu akan dihadiri 450 pemimpin Islam, pemikir, intelektual dan cendiakawan dari seluruh dunia.
Mengenai pemilihan lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Turki, Qatar dan Pakistan yang menjadi nukleus dan kumpulan teras sidang kemuncak itu, Dr Mahathir berkata: “Sebenarnya kita perlukan kumpulan kecil.”
Dr Mahathir berkata banyak negara Islam sedang sibuk atau menghadapi perang saudara.
“Jadi kita (sidang kemuncak) memilih negara-negara kecil yang mempunyai masa dan tenaga untuk mencari penyelesaian dan itu sebabnya kita memilih lima negara itu.
“Ini bukan kerana mereka tidak mempunyai masalah, tetapi masalah mereka tidak sebesar negara lain. Tetapi diharapkan yang lain akan turut serta kemudian,” katanya.
Ketika ditanya sama ada sidang kemuncak itu adalah alternatif lain selain Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk kebaikan umat Islam, Dr Mahathir berkata: “OIC adalah organisasi yang sangat besar. Sangat sukar bagi kita untuk mendapatkan organisasi sebesar itu menyertai persidangan ini.
“Itulah sebabnya kita bermula dengan lima negara dan kita berharap dari semasa ke semasa anggota OIC lain akan turut menyertainya,” katanya. – BERNAMA