Nasional

Lima nama pembuli doktor pelatih HPP ditangan KKM

Lima nama doktor toksik tiada kaitan kes kematian doktor pelatih

SUSULAN kes doktor pelatih dibuli, Exco Kesihatan Pulau Pinang, Norlela Ariffin telah menyerahkan lima nama doktor pembuli di Hospital Pulau Pinang (HPP) kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

Beliau bagaimanapun berkata, nama lima doktor itu tiada kaitan dengan kes seorang doktor pelatih HPP yang maut akibat terjatuh dari pangsapuri di Jalan Datuk Keramat bulan lalu.

“Saya telah menghantar nama lima doktor yang didakwa sebagai pembuli di HPP untuk diperiksa oleh menteri dan YB (Yang Berhormat) Khairy Jamaluddin telah menjawabnya.

“Nama yang dikemukakan ini bukan berkaitan dengan kes kematian doktor pelatih kerana kes ini masih dalam siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata, nama lima doktor itu diserahkan kerana mereka didakwa “paling toksik”.

“Saya serahkan nama doktor tersebut setelah membaca bahawa exco kesihatan Negeri Sembilan turut melakukan perkara ini dengan menyerahkan dua nama kepada menteri kesihatan,” ujar beliau.

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai perubatan siswazah yang ditempatkan di HPP pada 4 April lalu, dipercayai terjatuh dari tingkat 23 pangsapuri yang disewanya di Jalan Datuk Keramat, George Town pada 17 April lalu.

Minggu lalu, Khairy dilaporkan berkata, sebuah pasukan bertindak bebas akan ditubuhkan untuk menyiasat kematian terbaharu itu dan dakwaan budaya buli terhadap doktor pelatih di hospital.

Dalam laporan berasingan, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V Saravanan berkata, waris doktor pelatih lelaki di HPP yang meninggal dunia itu akan memberi keterangan hari ini.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai kehadiran ahli keluarga doktor pelatih berusia 25 tahun dari Kuala Lumpur itu semalam.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk membabitkan elemen jenayah mahupun masalah peribadi doktor muda dari sebuah universiti swasta di Cheras itu.

“Mereka (waris) sampai baru tahu (siapa yang akan beri keterangan sama ada ibu, bapa atau abang si mati),” katanya.

Polis masih menunggu laporan bedah siasat, ujian makmal dan laporan kimia kematian doktor pelatih itu. – SUMBER KOSMO!-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button