Politik

Demi perpaduan ummah: PAS tidak bersedia putus dengan UMNO

PAS tidak bersedia untuk memutuskan hubungannya dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) yang menjadi formula pilihan terbaik apabila berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, rugi sekiranya hubungan itu tidak dipertahankan dan sekali gus mengingatkan UMNO supaya tidak terburu-buru dalam membuat keputusan.

Beliau berkata, salah satu fasal dalam piagam itu menyebut, jika berlaku sebarang perselisihan atau salah faham antara kedua-kedua parti itu, kembalilah merujuk kepada al-Quran sebagai rujukan bagi menyelesaikan sebarang masalah berbangkit.

“Kita tidak pernah putus dengan UMNO dan sentiasa menghormati perjanjian yang termeterai dalam piagam MN.

“PAS tidak bersedia untuk putus dengan UMNO dan berharap sebarang perselisihan dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, sebaik-baiknya kembalilah kepada penyatuan yang memberi manfaat besar kepada umat Islam di negara ini dan janganlah berpecah.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan PAS dan UMNO sebagai formula terbaik.

Kata Takiyuddin, penyatuan itu tidak terhad kepada parti tertentu sahaja.

“Sebaliknya penyatuan itu boleh disertai mana-mana parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam tersebut,” kata Takiyuddin.

Walau bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lalu berkata, kerjasama parti itu dengan PAS melalui MN perlu dilupakan menjelang PRU15.

Ini kerana kata Zahid, parti itu sudah beberapa kali memberi ruang secukupnya kepada PAS untuk mempersetujui perkara terkandung dalam piagam MN namun ia tidak disepakati. – SUMBER UTUSAN MALAYSIA – SM

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button