Nasional

Lima kilang, 10 premis diarah tutup; 7 lokaliti dikenakan PKPD

SEBANYAK lima buah kilang dan 10 buah premis telah diarahkan tutup semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 12 tangkapan juga dilakukan dalam pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan itu.

“Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 95,539 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota sebanyak 20,071.

“Pada 25 Jun 2021, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan sebanyak 2,224 pemeriksaan ke atas kilang dan 11,680 premis perniagaan,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu tujuh lokaliti termasuk bandar Jerantut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan bermula 28 Jun sehingga 11 Julai 2021.

Menurut Ismail Sabri, dalam tempoh 15 hari sehingga 26 Jun lalu terdapat 186 kes positif COVID-19 telah dilaporkan di sekitar bandar Jerantut selepas 421 orang penduduk menjalani ujian saringan. Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan yang ketara di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Turut dikenakan PKPD di Pahang adalah lokaliti Tringkap, Cameron Highlands. KKM mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua minggu apabila sebanyak 70 kes telah dikesan hasil saringan ke atas 592 orang penghuni di lokaliti itu.

Lima lagi lokaliti melibatkan kawasan di Sabah termasuk Penjara Kepayan, Kota Kinabalu. Penjara Kepayan merekodkan 18 kes positif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Turut dikenakan PKPD adalah Kilang Sawit Bell termasuk perumahan kilang dan Kampung Tuunon di Penampang; Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat dan Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah.

Sementara PKPD di dua lokaliti iaitu Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan di Kota Belud, Sabah dilanjutkan hingga 11 Julai. PKPD dilanjutkan berikutan daripada 249 ujian saringan 35 disahkan positif COVID-19.

PKPD di enam lokalati ditamatkan iaitu Kampung Indah, Nabawan; Kampung Manggis, Kuala Penyu; Kampung Baru (SFI) Sipitang dan Taman Kinabutan Ria serta Simpang Inderasabah di Tawau, Sabah serta Kawasan Kampung Raja di Cameron Highlands, Pahang.

Sementara PKPD di Kampung Sundang Laut, Sandakan, Sabah yang dijadualkan tamat pada 29 Jun ditamatkan lebih awal esok.

“Sehingga kini, KKM telah melakukan 283 ujian saringan di kawasan itu dan 10 daripadanya disahkan positif COVID-19. Pada masa sama, KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan,” katanya.

Semalam turut menyaksikan 735 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu seramai 705 individu dikompaun manakala 30 lagi direman.

Kesalahan direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (153), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (149), tidak memakai pelitup muka (143) dan tiada penjarakan fizikal (130).

Turut dikenakan tindakan membawa penumpang berlebihan (50), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (41), aktiviti pusat hiburan (10), premis gagal patuhi arahan (8) dan lain-lain (51).-SM

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button