
Letusan gunung berapi di Nusa Tenggara Timur penerbangan terjejas
GUNUNG Lewotobi yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, meletus lewat malam Khamis dan berlanjutan hingga pagi Jumaat, memaksa pihak berkuasa menaikkan status amaran ke tahap tertinggi.
Menurut laporan Xinhua, letusan tersebut menghamburkan abu setinggi 8,000 meter sebelum tengah malam Khamis, dengan asap kelabu kehitaman tersebar ke arah barat daya dan barat. Susulan itu, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi meningkatkan status amaran gunung berapi berkenaan ke Tahap IV, iaitu tahap amaran tertinggi sejak Khamis.
Selain itu, Notis Pemerhatian Gunung Berapi untuk Penerbangan (VONA) turut dikeluarkan pada tahap merah, sekali gus melarang pesawat daripada terbang di bawah ketinggian 6,000 meter di sekitar kawasan letusan. Para juruterbang juga dinasihatkan agar berwaspada terhadap abu gunung berapi yang boleh mengganggu perjalanan udara.
Bagi memastikan keselamatan penduduk, pihak berkuasa telah memperluaskan zon bahaya di sekitar kawah gunung berapi. Radius kawasan larangan meningkat dari tujuh kepada lapan kilometer di bahagian barat daya dan barat laut, sementara kawasan lain diperluaskan dari lima kepada tujuh kilometer. Penduduk di kawasan terjejas turut disarankan memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada kesan abu yang boleh menjejaskan sistem pernafasan.
Gunung Lewotobi, yang berketinggian 1,584 meter, merupakan salah satu daripada 127 gunung berapi aktif di Indonesia.