Mahkamah

Lelaki dipenjara enam bulan gara-gara curi seutas rantai emas

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 10 Mei – Gara-gara mencuri seutas rantai emas bernilai RM5,000, seorang lelaki dipenjara enam bulan
oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Tertuduh, R.C Navaratnam, 21, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa
mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Noh.

Dua rakan tertuduh iaitu K.M Vinoth, 21, dan S.T Prakash, 23, pula turut membuat pengakuan bersalah di
mahkamah berasingan pula masing-masing didenda RM1,000.

Mengikut pertuduhan terhadap Navaratnam, dia didapati mencuri seutas rantai emas bernilai kira-kira
RM5,000 di Han Cheong Goldsmith, 32, Jalan Kee Ann, dekat sini, pada 20 April lalu, kira-kira pukul 2.30 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10
tahun dan denda.

Sementara di mahkamah berasingan pula, Vinoth dan Prakash didakwa memiliki atau menyimpan barang kemas,
invois syarikat kedai emas serta kedai pajak dan wang tunai berjumlah keseluruhan RM3,870.

Bagaimanapun, mereka gagal memberi penjelasan munasabah mengenai cincin, rantai, wang tunai dan inviois
dimiliki kedua-dua tertuduh berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan mereka di lokasi berasingan di sekitar daerah Melaka Tengah pada 20 April lalu
antara pukul 9 hingga 10 malam.

Bagi kesalahan itu kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955
memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit
kesalahan.

Terdahulu Peguam N. Gunalan yang mewakili semua tertuduh merayu agar hukuman ringan dikenakan ke atas anakguamnya dengan alasan mereka adalah pesalah muda, tiada rekod serta sudah insaf sejak ditahan di lokap
pada 20 April lalu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button