Nasional

Lawatan PM perkukuh hubungan dua hala Malaysia-Turkiye

Perdana Menteri, Yang Amat Berhomat (YAB) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob meneruskan agenda lawatan luar negara beliau ke Turkiye, yang dahulu dikenali sebagai Turki. Alhamdulillah, lawatan yang disifatkan produktif dan memberangsangkan ini telah membuahkan hasil yang memanfaatkan kedua-dua negara yang telah bersaudara selama hampir 58 tahun.

 Turkiye, sebuah negara yang kaya dengan sejarah perkembangan Islam menjadi saksi pertemuan sulung kedua-dua pemimpin utama negara Islam iaitu YAB Dato’ Sri Ismail Sabri dan Tuan Yang Terutama (TYT) Presiden Recep Tayyip Erdogan.

 Lawatan rasmi ini merupakan jemputan oleh TYT Presiden Erdogan kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua negara yang sudah terjalin sejak tahun 1964. Jemputan ini juga satu penghormatan kepada Perdana Menteri Malaysia ke 9 dan seluruh Keluarga Malaysia oleh Kerajaan Turkiye.

 Sepanjang lawatan rasmi selama empat hari yang bermula 5 Julai hingga 8 Julai, pelbagai program dan perbincangan telah diadakan bagi menerokai peluang kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, sekuriti makanan, aeroangkasa dan industri pertahanan.

 Dalam lawatan ini, Perdana Menteri memberi lebih perhatian terhadap isu sekuriti makanan negara yang terjadi berikutan gangguan rantaian bekalan global yang mengakibatkan bekalan makanan negara terjejas. Isu sekuriti makanan bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia; malah turut menjejaskan banyak negara akibat konflik, perubahan iklim dan krisis ekonomi.

 Justeru, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan pihak Kerajaan Turkiye bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi dan stabil di kedua-dua negara. Malaysia-Turkiye juga bersetuju untuk melaksanakan pelaburan berbalik (reverse investment) berkaitan produk makanan di Turkiye bagi memenuhi keperluan sekuriti makanan di Malaysia.

 Pengeluaran produk berasakan gandum tahunan Turkiye mencecah hampir 20 juta tan dan republik itu adalah pengeksport bersih komoditi berkenaan. Justeru, Perdana Menteri telah memaklumkan kepada TYT Presiden Erdogan untuk membeli gandum serta memberi kebenaran kepada syarikat-syarikat Malaysia seperti Boustead Holdings untuk membuat pelaburan berbalik dalam sektor makanan, khususnya gandum dan membawa balik hasilnya demi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

 Ini merupakan antara langkah strategik yang dilaksanakan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bagi menjamin sekuriti makanan negara yang kini sedikit terjejas berikutan larangan eksport gandum oleh India.

 Manakala, untuk sektor ekonomi, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar dan sumber import keempat terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan jumlah perdagangan dua hala yang melebihi USD4.09 bilion (RM16.97 billion).

 Perdana Menteri juga optimis jumlah dagangan ini akan meningkat naik pada masa akan datang melalui perluasan skop Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang kini berada di fasa akhir dan akan ditandatangani dalam masa terdekat.

 Perluasan skop MTFTA yang melibatkan e-dagang ini akan memudahkan akses dan memperluaskan pasaran untuk usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Malaysia serta membuka peluang pelaburan berimpak tinggi dari Turkiye ke Malaysia. Ia bakal mencipta peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai bidang buat Keluarga Malaysia.

 Turkiye merupakan hab pembuatan produk berasaskan sawit untuk pasaran benua Eropah dan Asıa Tengah. Justeru, Perdana Menteri telah meminta Kerajaan Turkiye untuk mempertingkatkan import minyak sawit Malaysia.

 Antara lain, Malaysia juga meneroka peluang dalam menghasilkan sumber tenaga mesra alam bersama pihak Turkiye yang kini sedang mempergiatkan penggunaan biodiesel sebagai bahan bakar dalam sektor pengangkutan. Langkah ini bagi memenuhi objektif agenda hijau negara.

 Dalam lawatan ini juga, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri turut memperkasakan kerjasama pendidikan Malaysia dan Turkiye melalui Memorandum Persefahaman (MoU) di antara universiti tempatan dan universiti Turkiye yang melibatkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada bidang penyelidikan kedua-dua negara untuk pembangunan masa hadapan.

 Lebih menggembirakan, Perdana Menteri turut menyampaikan berita baik kepada TYT Presiden Edrogan bahawa Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf ijazah daripada 208 universiti dı Turkiye. Pengiktiran ini turut menjadi khabar gembira kepada anak-anak Malaysia yang kini sedang menimba ilmu di Turkiye termasuk mereka yang telah tamat pendidikan.

 TYT Presiden Erdogan menyahut berita gembira ini dan menyatakan komitmen Kerajaan Turkiye untuk menambah lagi tajaan atau biasiswa kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di Turkiye pada masa akan datang.

 Insha-Allah, lebih banyak peluang untuk anak-anak Keluarga Malaysia yang berhasrat untuk menyambung pelajaran di Turkiye setelah jumlah bilangan ini ditambah. Pada masa kini, terdapat lebih 57 pelajar tajaan Kerajaan Tukiye yang sedang menuntut di sana.

 Bagi sektor kesihatan, terutama selepas dunia dikejutkan dengan penularan wabak COVID-19, TYT Presiden Edrogan membuat tawaran untuk bekerjasama dalam pembangunan vaksin COVID-19, Turkovac buatan Turkiye turut disambut baik oleh Perdana Menteri dan telah meminta Kementerian Kesihatan untuk meneliti tawaran tersebut.

 Untuk sektor pelancongan, Malaysia yang dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan kesihatan (Medical Tourism) turut diberi perhatian oleh Perdana Menteri bagi memperkasa Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan bertaraf dunia melalui Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC).

 Dengan kepakaran Malaysia dalam kesuburan in-vitro (IVF), kardiologi, onkologi, pergigian, pembedahan plastik dan beberapa bidang lain, Turkiye merupakan antara pasaran utama negara.

 Perdana Menteri juga berhasrat untuk memodenkan sistem pertahanan negara dengan memulakan kerjasama bersama Turkiye yang dikira pakar dalam bidang ini. Langkah yang diambil terhadap perkara ini bukan sahaja melibatkan pembelian aset dan peralatan ketenteraan semata-mata, sebaliknya melibatkan pelaburan dan pembuatan oleh pemain industri pertahanan antarabangsa di Malaysia.

Pendekatan ini akan menguntungkan Malaysia dari segi pemindahan teknologi, kepakaran dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, malah, ia turut memanfaatkan pemain-pemain industri tempatan yang akan terlibat dalam rantaian pembekalan kelak.

 Dalam masa yang sama, sebagai langkah jangka panjang, Kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai hab industri pertahanan moden di rantau ini.

 Mengenai isu Palestin, Malaysia-Turkiye bersependapat berhubung sokongan berterusan kepada perjuangan Palestin menamatkan kezaliman rejim Zionis. Malaysia menghargai usaha Turkiye dalam membela rakyat Palestin.

 Sebelum ini, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri lantang bersuara mengenai isu Palestin di Sidang Khas Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (US-ASEAN Summit) pada Mei lalu. Sudah pasti, kali ini Perdana Menteri akan berusaha bersama-sama like-minded countries dalam menyelaras usaha ke arah menamatkan pendudukan rejim Zionis dan merealisasikan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

 Mengenai konflik Rusia dan Ukraine yang masih lagi berlarutan dan memberi impak besar kepada dunia termasuk Malaysia dari segi rantaian bekalan global, inflasi dan kejatuhan mata wang.

 Perdana Menteri memuji usaha yang diambil oleh Presiden Erdogan bagi mencari jalan perdamaian dan kedua-dua pemimpin turut menyeru agar semua pihak yang terlibat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan konflik yang menggugat keamanan sejagat.

 Kesimpulannya, lawatan sulung YAB Dato’ Sri Ismail Sabri ke Turkiye ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Perdana Menteri bagi memperkukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Turkiye serta meningkatkan tahap hubungan kepada kerjasama komprehensif dan strategik dalam mendepani isu-isu global yang semakin mencabar.

 Pastinya Kerajaan juga terus berusaha memastikan hasil lawatan ini akan memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

(Visited 363 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button