Travel

LaVilla Cherating destinasi percutian menyeronokkan

PERJALANAN tidak jauh kalau bermula dari Kajang, Selangor menuju ke pusat peranginan Cherating di Kuantan, Pahang. Kurang tiga jam menaiki kereta, sudah sampai ke lokasi penginapan pilihan iaitu LaVilla by Holiday Villa Cherating.

Sepanjang perjalanan, dalam minda sudah menyusun apakah aktiviti yang akan dilakukan setibanya di destinasi yang dituju. Terbayang-bayang keenakan keropok lekor yang digoreng panas-panas, air kelapa muda yang sejuk masuk ke kerongkong.

Singgah makan tengah hari lauk-lauk kampung seperti ikan bakar, budu, ulam, kuah sayur masak lemak membuatkan lupa seketika koleksi kolesterol!

Akhirnya perjalanan menuju ke LaVilla Chalet sampai dengan selamatnya.

Dua unit chalet yang ditempah untuk penginapan tiga hari dua malam, memang berbaloi. Tidak terasa penat memandu dan yang lebih penting, mood cuti dan bersantai di tepi pantai sudah mari!

PASIR pantai di Cherating.

Kalau sebelum ini penat perah otak fikir dan fikir soal kerja, segala penat lelah bekerja itu hilang seketika apabila bercuti begini.

Chalet Perlis menjadi pilihan, lengkap dengan kolam renang privasi. Kiranya, buka pintu bilii, terpampang kolam renang.

Kalau nak berendam macam dugong pun tak kisah kerana orang tak nampak. Memang privisi. Kalau nak berenang, boleh buat kuak lentang sebab kolam renang privasi cukup panjang dan lebar untuk berenang-renang manja.

Yang memberi kejutan di Chalet Perlis ialah sambil berenang atau berendam dalam kolam renang, tiba-tiba terpandang buah-buah mangga telor di atas kepala.

Patutlah redup kerana terlindung dengan pokok buah mangga telor atau mempelam.

KOLAM renang privasi, bukan pintu chalet, boleh terus masuk ke dalam kolam renang.

Dalam bilik chalet pula, terdapat satu katil bersaiz king. Istimewanya katil kayu empat tiang ini ada kelambu.

Jadi nak merasa tidur dalam kelambu, boleh sahaja. Dan chalet ‘rumah kayu’ ini lengkap ada pendingin hawa dan kipas angin.

Kalau percutian dengan keluarga, elok juga dalam bilik chalet ada televisyen sebab sebelah malam, boleh tonton movie. Tak kisahlah kalau movie ulang tayang oleh stesyen penyiaran ulang tayang.

Selepas seronok berendam dalam kolam renang privasi, jalan kaki dekat sahaja menuju ke tepi pantai. Boleh berendam di tepi pantai, bukannya berenang ala-ala Datuk Malik Maidin!

Bermain pasir walaupun tidak halus pasirnya seperti di Terengganu, sudah cukup menggembirakan hati si kecil yang sibuk menyodok pasir dengan shovel atau penyodok plastik. Harganya tak habis RM10.

PENAT bermain di gigi pantai, beralih ke kolam renang pula.

Penat bermain di tepi pantai, ada taman tema air di chalet penginapan. Ada kolam renang yang lebih besar disediakan dan di situ juga, terdapat kafe LaVilla.

Hidangan Barat boleh dipesan dan untuk kita orang dewasa, boleh sahaja memesan kopi panas.

Harga untuk dua unit penginapan mungkin agak mahal iaitu lebih RM2,000 tetapi menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga, itu tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Insya-Allah, ada rezeki, kita pergi bercuti lagi. Cuti-cuti sambil merapatkan lagi hubungan dalam keluarga, bertanya anak-anak apakah yang mereka pelajari di sekolah sambil memberi nasihat kepada anak-anak. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button