MahkamahNasional

Lans Koperal mengaku tak bersalah terima rasuah berkait kes rogol

SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rogol tahun lepas.

Norazmi Afiq Mohd Solleh, 27, yang berasal dari Dungun, Terengganu memohon supaya dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang bertugas di Balai Polis Dungun memperoleh wang tunai RM2,500 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas dua individu yang terlibat dengan kes rogol di Kedai Makan Hjh Hanisah Bt Taib di Jalan Baru Pak Sabah, Kampung Sura di Dungun pada 3.15 petang 30 Mei 2021.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperoleh RM2,000 daripada seorang lagi lelaki untuk tujuan sama di Tapak Pasar Malam Sura Gate di Dungun pada 9.40 malam 23 Mei 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama bagi kedua-dua pertuduhan.


Norazmi Afiq juga berhadapan dakwaan meminta suapan berjumlah RM10,000 iaitu masing-masing RM5,000 daripada dua individu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit dengan kes rogol di daerah Dungun pada 19 Mei 2021.

Bagi tuduhan itu, anggota yang masih belum berkahwin itu didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Hakim Dazuki membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan selain mengarahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Najmi Adila Mat Nasir. Mahkamah menetapkan 17 Mei untuk sebutan kes. – SM

 

(Visited 118 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button