Nasional

Langgar kuarantin wajib: Akhirnya Mohd Khairuddin ke Bukit Aman

SELEPAS bermacam polemik dan alasan akhirnya Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali telah diminta hadir di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman.

Memetik laporan Bernama, beliau dipanggil ke Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada Julai lepas.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

“Beliau akan beri keterangan kes itu esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata isu mengenai Mohd Khairuddin telah diserahkan kepada polis untuk disiasat.

Sebelum itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lepas atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pula dilapor mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lepas.

Kegagalan Mohd Khairuddin mematuhi perintah kuarantin itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Teresa mendedahkan, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu telah menghadiri sekurang-kurangnya 12 program dan acara sejak pulang dari Turki 7 Julai lalu.

Lokasi yang terlibat termasuk Parlimen (13, 14, dan 16 Julai), Jasin (15 Julai), Jabatan Perdana Menteri (18 Julai), Kuala Nerus (18 Julai), Setiu (18 Julai), Pantai Penarak, Terengganu ( 18 Julai), dan Pulau Duyong (10 Julai 19).

Ekoran itu pelbagai pihak mengkritik Mohd Khairuddin kerana gagal menunjukkan contoh yang baik sebagai pemimpin.

Malah yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuroi Agong walaupun diuji negatif tetap menjalani kurantin sendiri selama 14 hari.

Pardana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga turut berbuat demikian selepas salah seorang yang hadir pada mesyuarat di pajabat perdana menteri positif Covid-19.

Ada juga yang membuat perbandingan antara denda yang dibayar oleh Khairuddin dengan beberapa individu yang dikenakan hukuman lebih berat ekoran kegagalan mematuhi perintah kurantin wajib itu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button