Ekonomi

AirAsia Group catat kerugian bersih pada suku kedua

AirAsia Group Bhd merekodkan kerugian bersih sebanyak RM992.89 juta pada suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2020 (Suku Kedua 2020) berbanding keuntungan bersih RM17.34 juta dalam suku yang sama tahun lepas.

Ketika kemuncak pandemik COVID-19 apabila banyak negara mengumumkan sekatan perjalanan dan sempadan, hasil kumpulan penerbangan tambang rendah itu menjunam sebanyak 96 peratus kepada RM118.96 juta daripada RM2.92 bilion sebelumnya.

AirAsia Group dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, 42 peratus hasilnya disumbang daripada operasi kargo dan logistik.

“Perbelanjaan kumpulan menyusut apabila kumpulan menggantung sementara operasi pesawatnya pada akhir suku pertama dan menyambung semula operasi beransur-ansur pada akhir Mei-awal Jun apabila sekatan perjalanan domestik dilonggarkan.

“Kumpulan melaksanakan langkah-langkah pengekangan kos seperti mengurangkan tenaga kerja, memotong gaji pengurusan, kakitangan dan pengarah; merundingkan penangguhan dengan pemajak, pembekal dan rakan kongsi; dan menstruktur semula kedudukan lindung nilai bahan api,” kata syarikat penerbangan itu.

Bagi aliran tunai, kumpulan itu mencatatkan aliran keluar bersih RM1.67 bilion semasa suku kedua 2020 berikutan permintaan penerbangan yang rendah disebabkan pandemik COVID-19.

Semasa suku tersebut, hasil perniagaan penerbangan adalah sebanyak RM68.0 juta apabila kapasiti berkurangan sebanyak 98 peratus berbanding suku kedua 2019 (Suku Kedua 2019).

AirAsia mengangkut sejumlah 204,082 penumpang semasa  Suku Kedua 2020 berbanding 12.84 juta penumpang semasa Suku Kedua 2019.

Malaysia dan Filipina mengumumkan penggantungan sementara operasi pesawatnya masing-masing bermula 28 Mac dan 20 Mac, manakala Indonesia mengurangkan sejumlah besar penerbangan domestik dan antarabangsanya. – BERNAMA

(Visited 105 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button