Lamees anak kecil menabung untuk sedekah
MAHU bersedekah bukan perlu tunggu menjadi kaya-raya. Sesiapa sahaja boleh melakukan amalan baik ini sekalipun cuma seorang anak kecil.
Lamees Emtinaan Al Helmi Aidi Helmi, 6, pelajar pra sekolah, Sekolah Rendah Islam 1 (SR1) Kangar adalah contoh anak kecil suka bersedekah dengan cara menabung.
Anak kesembilan dari 10 adik beradik ini mempunyai tabiat yang menyejukkan hati ibunya, Mahayan Rais, 46, kerana tujuannya menabung bukan untuk kegunaan sendiri tetapi untuk disedekahkan.
Lamees yang kematian bapa sejak berusia tiga tahun belajar menabung pada usianya hampir dua tahun.
“Saya ini jenis menggalakkan anak-anak menabung di mana mereka akan menggunakan wang ini untuk membeli barangan yang diidamkan,” kata Mahayan, bekas guru.
Bagaimanapun katanya, Lamees anak yang berbeza apabila dia tidak pernah membelanjakan wang tabungan untuk kegunaan sendiri.
“Setiap kali saya tanya, nak buat apa dengan duit tabung, dia akan menjawap “untuk sedekah”, katanya.
Mahayan berkata, , kalau tabung sudah penuh maka Lamees akan menyuruhnya mencari orang untuk disedekah.
“Saya biasanya berikan kepada Lamees lebihan duit siling selepas membeli barang dapur atau upah yang biasanya hanya RM1 sahaja sebab dia telah melakukan kerja menyapu sampah, sidai baju atau basuh pinggan,” katanya.
Semalam, Lamees muncul di RTM Perlis bersama ibu dan kakaknya, Nur’Adleeya Mursyida All Helmi Aidi Helmi, 8, untuk turut memberi sumbangan pada program Jelajah Ramadan Bersama RTM.
Cerita ini menjadi tular apabila Penerbit Jelajah Ramadan Bersama RTM, Mohd Syah Hashim memuat naik status di Facebook (FB)nya mengenai kehadiran Lamees dan kakaknya.
Mohd. Syah dan dua rakannya, penolong jurutera tidak dapat menahan air mata setelah anak kecil ini berkata dia bersedekah kerana hendak menolong kawan-kawan supaya arwah ayah masuk syurga.
Setelah dikira semua duit tabung itu berjumlah RM234.60 yang telah disimpan oleh Lamees selama setahun. – SM