Nasional

Pemandu mabuk seret motosikal 2km, penunggang maut

SEORANG lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu lelaki disyaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara, di Kuala Lumpur, awal pagi ini.

BH Online melaporkan dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Mohamed Zaili Mohamed berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa dirempuh Nissan Grand Livina dipandu suspek berusia 21 tahun dari arah belakang.

Katanya, ketika itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa, dekat Ampang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri bahu jalan, manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Suspek memberhentikan kenderaannya di bawah jejantas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa dekat kawasan itu setelah ditahan orang awam.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Trafik Jalan Tun H S Lee dan keputusan saringan ujian mendapati kandungan positif alkohol dalam pernafasan lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button