Rencana

Bukan sekadar ladang solar, tetapi sumber tenaga masa depan

PERTAMA kali melangkah masuk ke dalam ‘ladang solar’ milik Gading Kencana Sdn. Bhd. di Bidor, Perak mata seperti tidak percaya melihat panel-panel fotovoltaik (pv) yang menyerap cahaya matahari, saujana mata memandang.

Panel fotovoltaik  berjumlah 110,500 keping yang disusun teratur di atas tanah seluas 40 hektar itu kelihatan begitu mengagumkan seolah-olah sebuah cermin gergasi. Loji Janakuasa Solar Bidor Perak ini adalah yang terbesar dimiliki oleh syarikat swasta.

Biasan cahaya matahari yang memantul dari atas panel fotovoltaik menyilaukan mata yang memandang dek kerana banyaknya kepingan panel menyerap tenaga solar yang dipasang.

Ketika saya dan jurukamera tiba di ladang tersebut, waktu baru pukul 10.30 pagi. Bagaimanapun panahan cahaya matahari yang terik dan amat memeritkan kulit telahpun terasa.

Bidor antara wilayah yang menerima sinaran solar yang tinggi sekaligus merupakan antara beberapa kawasan yang paling panas di negara ini.

Justeru logi janakuasa solar sesuai beroperasi di kawasan itu untuk ‘menangkap’ cahaya matahari dan seterusnya ditukar menjadi tenaga elektrik yang kemudian disalurkan ke kawasan perumahan dan industri.

Dek kerana luasnya kawasan itu sebuah robot berharga lebih RM100,000 terpaksa dibeli dan digunakan untuk mencuci kepingan panel-panel tersebut. Selama enam bulan diambil untuk mencuci keseluruhan panel berkenaan.

Loji janakuasa solar dengan jumlah pelaburan RM214 juta ini terletak di atas bekas tanah lombong yang tidak memungkinkan sebarang aktiviti ekonomi pertanian dijalankan di permukaannya.

Ia dilengkapi dengan sebuah bilik kawalan yang canggih. Mampu mengesan jumlah cahaya dan haba matahari, perubahan cuaca serta mengenalpasti sebarang kerosakan panel. Stesen itu turut memiliki 14 pusat inventer. Lebih membanggakan semua tenaga kerja terdiri dalam kalangan rakyat tempatan terutama anak Bidor sendiri.

Loji janakuasa solar Gading Kencana ini mampu menghasil 53,650 megawalt elektrik untuk keperluan 20,000 buah rumah.

Mengapa tenaga solar? Itu pertanyaan yang terlintas difikiran saya.

“Tenaga solar merupakan satu sumber tenaga yang terbaik. Bahan bakar untuk menghasilkan tenaga elektrik ini hanya bersumberkan tenaga matahari anugerah tuhan. Tidak ada kos kepada kita,” kata Pengarah Urusan Gading Kencana Datuk Ir. Guntor Tobeng.

 

Datuk Ir. Guntor Tobeng dalam bilik kawalan logi janakuasa Bidor.

Panel solar terdiri daripada unit-unit kecil yang dipanggil sel fotovoltaik. Apabila foton mengenai sel suria, ia mungkin dipantulkan semula, terus menembusi, atau diserap. Hanya foton yang diserap membekalkan tenaga untuk menjana elektrik.

Apabila cukup cahaya matahari yang diserap oleh semikondaktor, elektron akan terkeluar daripada atom bahan, oleh itu elektron secara semulajadi bergerak menuju ke permukaan.

Apabila elektron meninggalkan kedudukan ia membentuk lubang. Apabila banyak elektron yang bercas negatif bergerak menuju ke permukaan sel, hasilnya ialah berlaku ketidakseimbangan cas antara sel – sel pada permukaan hadapan dan belakang yang membentuk potensi voltan sama seperti terminal negatif dan positif sesebuah bateri.

Apabila dua permukaan tersebut disambungkan dengan beban luaran, seperti alatan elektrik, arus elektrik akan mengalir. Begitulah penerangan Muhammad Syukri Jaelaam, jurutera yang bekerja di logi solar tersebut.

Muhammad Syukri Jaelaam

Apa yang pasti, loji janakuasa solar milik Gading Kencana ini bukan sekadar simbol kemajuan teknologi tenaga elektrik. Tetapi sebaliknya ia merupakan langkah kehadapan sebagai persiapan sekiranya dunia kehabisan sumber tenaga fosil untuk menjana elekrik.

Dengan Malaysia menjadi negara pengeluaran panel solar ketiga terbesar di dunia, potensi untuk negara memanfaatkan sumber tenaga matahari sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan bakar fosil amat besar.

“Kecekapan panel solar semakin meningkat. Teknologinya berubah dengan pantas. Penjanaan kuasa elektrik makin lama makin besar dan saiz solar panelnya makin kecil.

“Jadi akan sampai satu peringkat di mana saiz solar panel itu kecil tapi dia boleh jana tenaga yang besar untuk digunakan untuk penyimpanan tenaga.

“Bayangkan sekiranya tenaga yang dijanakan pada waktu siang itu boleh kita simpan di dalam satu alat seperti bateri. Ini akan mengurangkan kebergantungan kita talian grid. Ini yang terbaik. Boleh digunakan di seluruh negara pada kos yang lebih murah,” kata Guntor memberi harapan.-SM

 

 

 

(Visited 896 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button