Mahkamah

Pesara PAIP didakwa terima rasuah RM24,000

SEORANG pesara Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas empat pertuduhan rasuah membabitkan jumlah RM24,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Nazeri Hussain, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika berkhidmat sebagai Penolong Operasi Bahagian Agihan PAIP dengan menerima wang tunai berkenaan daripada seorang pengarah syarikat kontraktor yang ada kaitan dengan tugas rasminya.

BERNAMA melaporkan, bagi pertuduhan pertama dan kedua, Nazeri didakwa menerima wang tunai RM2,000 daripada Pengarah Wawasan Vista Engineering Sdn. Bhd., Chong Wei Peng, di daerah ini melalui serahan tangan pada 11 Julai 2018 dan jumlah yang sama pada hari berikutnya.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa menerima masing-masing RM10,000 daripada Chong pada 24 Julai 2018 dan 21 Ogos 2018 melalui serahan tangan.

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nadzirah Zahari menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Zaharman Zainal Abidin bagaimanapun merayu agar mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin dengan alasan anak guamnya bergantung kepada bayaran pencen bulanan sebanyak RM2,200 bagi menanggung isteri dan anak berusia 21 tahun yang masih menuntut di sebuah universiti.

”Dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tinggal di Kuantan. Oleh itu, kami memohon jumlah ikat jamin yang rendah bagi memastikan dia dapat membayar,”  katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 September ini untuk sebutan semula kes. – SM

(Visited 334 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button