Nasional

KWSP bimbang kedudukan sebagai organisasi simpanan persaraan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melahirkan kebimbangan ketirisan simpanan pencarum akan menjejaskan kedudukannya sebagai sebuah organisasi simpanan persaraan dan pemegang amanah masa depan persaraan ahli.

Kebimbangan itu disuarakan berikutan sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan oleh pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah skim pengeluaran i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dalam tempoh kira-kira dua tahun sehingga Oktober lalu.

Jumlah berkenaan bersamaan 22 peratus daripada RM530 bilion pakej rangsangan yang diperkenalkan oleh Kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia secara keseluruhannya ketika berhadapan Covid-19.

“Sebagai pemegang amanah, KWSP mempunyai kewajipan fidusiari dalam menjaga kepentingan yang saksama untuk semua ahlinya, lebih-lebih lagi apabila masih terdapat berjuta ahli yang tidak menyentuh simpanan mereka dengan harapan untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik demi menjamin kehidupan persaraan mereka kelak,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas KWSP walaupun ketiga-tiga skim berkenaan memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan namun telah menyebabkan 6.1 juta daripada 15 juta ahli kini mempunyai kurang RM10,000 daripada akaun mereka.


Sejumlah 3.6 juta daripada 6.1 juta ahli itu mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000.

Katanya, majoriti mereka yang telah membuat pengeluaran kecemasan daripada KWSP adalah dari kalangan Bumiputera

“Sebanyak 4.4 juta atau 54% ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dan 2 juta atau 25% mempunyai kurang daripada RM1,000.

“Ini amat membimbangkan kerana bilangan ini mencerminkan peningkatan peratusan ahli yang tidak mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000, iaitu jumlah minimum yang diperlukan oleh ahli apabila mencapai umur 55 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut KWSP, ketika ini terdapat RM270 bilion simpanan yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang telah mencapai umur lebih daripada 55 dan 60 tahun.

Bagaimanapun, dibimbangi kemelesetan kepercayaan terhadap KWSP akan memaksa golongan ahli tersebut mengeluarkan simpanan mereka dengan banyak akan memberikan impak yang negatif terhadap pasaran domestik.

Ini kerana KWSP merupakan tunggak utama dalam pegangan aset pelaburan pasaran modal dan kewangan dalam negara.

Serentak itu, KWSP berbesar hati pendirian beberapa kesatuan negara yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan persaraan pekerja-pekerja di Malaysia dan mahukan pemberhentian pengeluaran khas simpanan KWSP.

Antaranya termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).-SM

(Visited 159 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button