fbpx
Politik

Kumpulan Tun M tinggalkan PH, umum blok Bebas bersama Warisan

AHLI Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama lima ahli Parlimen bekas Bersatu mengumumkan sebagai kumpulan blok Bebas dan tidak lagi bersama gabungan Pakatan Harapan.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu turut menyatakan ahli Parlimen dari Warisan yang dipimpin oleh Datuk Seri Shafie Adpal turut bersama-sama dalam blok tersebut.

Menurut Tun Dr. Mahathir, mereka masih berpegang kepada cadangan yang dibuat hasil dari perbincangan antara beliau dengan pemimpin Warisan, Amanah dan DAP pada 25 Jun untuk menamakan Shafie sebagai calon Perdana Menteri.

“Bagi pihak kami, mencalonkan Datuk Seri Shafie sebagai Perdana Menteri adalah satu langkah positif yang perlu diambil.

“Ia bukan sahaja kerana kita percaya dia akan berkeupayaan untuk mendapatkan sokongan majoriti tetapi juga satu langkah ke hadapan demi mempertingkat hubungan Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.


“Kami juga membuat keputusan untuk kekal bersama Warisan sebagai blok bebas di dalam dan di luar Parlimen. Kami tidak bergabung dengan mana-mana gabungan,” kata Dr. Mahathir dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut turut ditandatangani oleh Ahli Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Sr. Shahruddin Md. Salleh.

Kenyataan itu menyebut, mereka menentang sebarang usaha untuk menggantikan Speaker dan akan meneruskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menubuh Kerajaan yang tidak dipilih rakyat.

“Kami masih utama perjuangan asal kami iaitu menolak kembalinya Kerajaan kleptokrasi,” kata kenyataan tersebut.

Pada 6 Julai lalu Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyatakan mereka komited dengan pendirian asal untuk mencalonkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan nanti.

Majlis Presiden PH turut memberikan mandat penuh kepada Anwar untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk Shafie bagi mengembalikan mandat rakyat dan PH sebagai Kerajaan Persekutuan.

Pada masa sama, majlis itu turut membincangkan mengenai cadangan pencalonan Shafie yang juga presiden Warisan sebagai calon perdana menteri.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button