fbpx
Rencah Hidup

Kumpulan anjing liar berkeliaran undang keresahan penduduk

ANJING liar dan tidak bertuan memang mengundang bahaya, kalau-kalau digigitnya kerana ia boleh menyebabkan penyakit anjing gila atau rabbis.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan majlis perbandaran perlu sentiasa memantau supaya kehadiran kumpulan anjing liar yang kian kerap kelihatan berkeliaran di beberapa taman perumahan di Melaka segera diambil tindakan kerana ia mengundang keresahan penduduk.

Tinjauan BERNAMA ke atas seorang penduduk, Mohd. Aiman Ismail, 25, berkata, beliau pernah mengalami pengalaman mencemaskan dikejar sekumpulan anjing liar sebanyak dua kali ketika melakukan aktiviti berbasikal pada waktu malam.

“Sekarang saya tidak lagi mengayuh basikal pada waktu malam. Pengalaman dikejar anjing memang sangat menakutkan kerana kita terpaksa menyelamatkan diri daripada digigit kumpulan anjing liar berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, bukan sahaja keselamatan penduduk terancam malah salakan anjing-anjing tersebut juga mengganggu suasana malam penduduk di taman itu.

Beberapa kawasan iaitu Taman Paya Rumput Perdana, Cheng terdapat lebih 10 ekor anjing liar berkeliaran di sepanjang jalan utama kawasan perumahan tersebut.

Difahamkan anjing-anjing yang tidak bertuan itu menjadikan kawasan ladang sawit, longkang dan semak berhampiran sebagai tempat tinggal dan terdapat individu yang memberi makanan pada waktu-waktu tertentu.

Seorang warga emas, Maimun Hassan, 67, turut meluahkan perasaan takut dan tidak selamat dengan kehadiran anjing-anjing liar di kawasan tempat tinggalnya.

Dia juga memberitahu, kehadiran anjing-anjing liar itu telah menyebabkan aktiviti luar rumah cucu-cucunya terpaksa sentiasa dipantau.

“Buat masa ini, saya tidak ada dengar lagi penduduk kena gigit anjing tetapi kalau boleh, kita elakkan perkara ini daripada terjadi.

“Kita berharap masalah anjing liar berkeliaran ini cepat-cepat diselesaikan demi keselamatan semua penduduk,” katanya.

Datuk Zainal Abu

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah anjing liar selepas menerima aduan daripada penduduk.Katanya, MBMB turut menerima aduan-aduan berkaitan kehadiran anjing-anjing liar di beberapa kawasan antaranya yang terbaharu di Tanjung Minyak, Bukit Rambai dan Taman Widuri, Bachang.

“Aduan diterima bukan setiap hari atau setiap minggu tetapi apabila setiap kali kita mendapat aduan, unit yang bertanggungjawab akan datang untuk menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

“Setiap kawasan dalam pentadbiran MBMB juga kita mempunyai seorang pegawai kawasan yang akan memantau dan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat masalah yang timbul,” katanya. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!